Sukan Hari Ini

Piala Malaysia: JDT, Pahang, Selangor, PKNP Miliki Kelebihan

KUALA LUMPUR: Selepas saingan Piala Malaysia bagi musim 2017 membuka tirainya pada 4 Julai lalu, kini lengkaplah teka-teki lapan pasukan yang akan beraksi di suku akhir sekali gus mencuri tiket ke peringkat empat terbaik.

Menurut legenda bola sepak negara, Bakri Ibni, lapan pasukan yang berjaya melepasi peringkat kumpulan iaitu FELDA United FC, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC), Kedah, Selangor, Johor Darul Ta’zim (JDT), Melaka United (MU), Pahang dan Perak bakal menyajikan persaingan sengit untuk memburu kemenangan.

Beliau berkata, juara Liga Super empat kali berturut-turut iaitu JDT, Selangor, Pahang dan PKNP FC memiliki kelebihan tersendiri untuk melepasi halangan suku akhir itu yang dijadualkan bermula Jumaat dan Sabtu ini.

“Untuk pertemuan antara Selangor dan Kedah, saya lihat skuad kendalian Nidzam Adzha Yusoff agak muram sikit di pertengahan Liga Super.

“Ia berbeza dengan Selangor yang menunjukkan peningkatan baik sejak akhir-akhir ini.

“Malah, mentaliti pemain Selangor tampak lebih kuat dan saya rasa skuad Red Giants mampu mara ke separuh akhir,” katanya kepada Arena Metro, hari ini.

Katanya, satu lagi pertembungan menarik membabitkan naib juara Piala FA musim ini iaitu Pahang dan bekas juara Piala Malaysia sebanyak tujuh kali, Perak juga bakal menjanjikan pertemuan menarik antara kedua-dua pasukan.

“Pahang pada awal musim ini bermula baik tapi agak merudum ketika ini. Begitupun berdasarkan pemerhatian saya, keampuhan jentera serangan skuad Tok Gajah akan meranapkan impian Perak kerana barisan pertahanan pemain Perak agak longgar.

“Bagi dua aksi lain, saya tidak nampak mengapa JDT harus kalah kepada MU yang diketahui ramai mempunyai ramai pemain berkualiti.

“Namun kejutan mungkin berlaku dalam aksi membabitkan antara FELDA United dan PKNP FC di mana saya memilih kelab dari Perak itu untuk mara ke pusingan berikutnya.

“Ia berasaskan kepada semangat juang pemain muda yang beraksi baik sepanjang musim ini. Bukan nak kata FELDA United tidak bagus, tetapi keinginan dan kemahuan tinggi jelas terpampang di wajah pasukan PKNP untuk cuba melakukan kejutan,” katanya.

Aksi kedua suku akhir Piala Malaysia pula bakal berlangsung pada 23 dan 24 September ini dengan giliran Perak, J DT, Kedah dan PKNP menjadi tuan rumah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");