Berita Hari Ini

PM Merafak Sembah Tahniah Sultan Kedah Ke-29

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merafak sembah tahniah kepada Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah atas pengisytiharan baginda sebagai Sultan Kedah yang baharu hari ini.

Tunku Sallehuddin, 75, dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah yang ke-29 bagi menggantikan Almarhum kekandanya, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, 89, yang mangkat di Istana Anak Bukit pada 2.30 petang kelmarin.

“Semoga Kedah Darul Aman semakin maju serta dilimpahi rahmat Allah SWT. Daulat Tuanku,” kata Najib melalui catatan di Twitter dan Facebook beliau semalam.

Menurut Bernama, Najib, yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, kini berada di Washington untuk lawatan kerja tiga hari termasuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Donald J. Trump di White House pada Selasa.

Pemasyhuran Tunku Sallehuddin sebagai Sultan Kedah baharu dibacakan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Istana Anak Bukit hari ini setelah diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja.

Tunku Sallehuddin, yang merupakan anakanda kesembilan Almarhum Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, diputerakan pada 30 April 1942 dan menerima pendidikan tinggi di College of Military Engineering Poona di India.

Sebelum ini, baginda dimasyhurkan sebagai Raja Muda Kedah sempena keberangkatan pulang Almarhum Tuanku Abdul Halim setelah tamat tempoh lima tahun penggal pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 15 Dis 2016.

Tunku Sallehuddin menggantikan Raja Muda Kedah sebelum itu, Tunku Abdul Malik Almarhum Sultan Badlishah, 86, yang mangkat pada 29 Nov 2015 di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar akibat kegeringan.

Almarhum Sultan Abdul Halim, yang memerintah Kedah selama 59 tahun, selamat dimakamkan di Makam Diraja Langgar kira-kira 4 petang tadi.

Almarhum mencatatkan sejarah menjadi Yang di-Pertuan Agong selama dua penggal iaitu kali pertama, sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-5 (21 Sept 1970 – 20 Sept 1975) dan yang ke-14 (13 Dis 2011-12 Dis 2016).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");