Berita Hari Ini

PM Umum Peruntukan RM7 Juta Peladang, Nelayan

SERDANG – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan sekali sebanyak RM30,000 kepada setiap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) membabitkan dana RM7 juta bagi tujuan pemantapan dua organisasi itu.

Mengumumkannya ketika merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2017 (HPPNK2017) dan Malaysia Food Festival di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di sini, Najib berkata peruntukan sebagai menghargai usaha golongan yang membekalkan sumber makanan negara itu akan memanfaatkan seramai sejuta anggota persatuan dari kalangan peladang, penternak dan nelayan seluruh negara.

“Menjadi peladang, penternak dan nelayan yang mencurah keringat demi menyediakan sumber makanan rakyat adalah pekerjaan yang cukup mulia dan sebagai golongan yang dekat di hati saya, sumbangan ‘wira tidak didendang’ ini perlu disanjung tinggi,”katanya.

Menurutnya, sektor pertanian dan agromakanan menyumbang sebanyak RM89.3 bilion dan RM36.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2016, manakala pengeluaran komoditi makanan utama seperti padi, sayur-sayuran, buah-buahan, daging dan ikan mencatatkan pertumbuhan menggalakkan iaitu pada kadar 3.9 peratus setahun dalam tempoh 2011 hingga 2016.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan yang diluluskan Kementerian Kewangan itu mampu ‘menyegarkan’ pimpinan peladang dan nelayan kawasan dalam konteks memajukan lagi sektor masing-masing.

Terdapat sejumlah 278 PPK di negara ini dan 88 PNK.

Bertemakan “Makanan Kita, Masa Depan Kita” perasmian HPPNK, yang akan berlangsung selama empat hari sehingga 1 Okt itu, turut dihadiri isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");