Jenayah

Polis Tahan Lelaki Bertengkar Dengan Anggota DBKL Di Cheras

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki yang bertengkar dengan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas tayar kereta miliknya dikapit dalam kejadian di Taman Segar, Cheras di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Chong Kok Sin berkata lelaki berusia 38 tahun itu ditahan pukul 6.30 petang tadi selepas dia hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk memberi keterangan.

Menurut Chong, dua anggota penguat kuasa DBKL bertindak mengapit tayar sebuah kereta jenis Perodua Myvi kerana melakukan kesalahan meletakkan kenderaan di luar petak pada 12.46 tengah hari.

“Selepas itu, anggota DBKL menerima arahan untuk membuka kapit tayar kereta terbabit memandangkan pemilik kenderaan ingin membayar denda.

“Apabila anggota DBKL ke lokasi kejadian, berlaku perselisihan faham antara pemilik kenderaan dengan anggota DBKL dan beberapa individu lain,” katanya dalam satu kenyataan semalam lapor Bernama.

Beliau berkata anggota penguat kuasa DBKL juga telah membuat laporan berhubung kejadian di Balai Polis Sentul semalam.

“Siasatan berhubung kes ini masih dijalankan,” katanya.

Rakaman berdurasi empat minit yang tersebar di laman sosial itu memaparkan seorang lelaki sedang bertengkar dengan anggota DBKL serta beberapa individu lain selepas dipercayai tidak berpuas hati apabila tayar keretanya dikapit.

Lelaki berkenaan turut dilihat mengeluarkan objek dipercayai senjata daripada kereta miliknya ketika pertengkaran itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");