Berita Hari Ini

Program NBOS Catat Kejayaan Luar Biasa – PM Najib

PEKAN: Pelaksanaan program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) mencatatkan kejayaan luar biasa dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dengan perbelanjaan yang optimum.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata NBOS yang menghimpunkan lebih 80 agensi kerajaan juga bermatlamat sebagai pemecah dinding antara kementerian, jabatan dan agensi yang lazimnya mengamalkan perkhidmatan secara berasingan.

Permuafakatan pelbagai agensi ini, menurut Najib, membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan terbaik yang menekankan tiga elemen utama iaitu berimpak tinggi, dilaksanakan dengan pantas dan menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

“Sebagai contoh dalam NBOS kita ada laksanakan UTC (Pusat Transformasi Bandar) yang dilaksanakan di 20 lokasi termasuk di Kuantan dan saya diberitahu telah ada 51 juta pelanggan menggunakan perkhidmatan ini dan daripada jumlah itu, 5.9 juta pelanggan sahaja adalah di UTC Kuantan.

“Apa yang unik, UTC ini mampu menjimatkan perbelanjaan kerajaan sehingga RM2 bilion kerana kita menghimpunkan semua perkhidmatan di bawah satu bumbung sahaja, keadaan ini memberi keuntungan kepada kita,” katanya semasa berucap merasmikan Fiesta NBOS Bersama-sama Rakyat di Padang Kampung Baru Salong di sini semalam, lapor Bernama.

Majlis turut dihadiri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan berkata NBOS merupakan satu perkara unik yang tidak terdapat di negara lain apabila menawarkan perkhidmatan sehingga pukul 10 malam setiap hari kecuali pada cuti am.

Mengenai Fiesta NBOS, Najib menyifatkan penganjuran fiesta itu yang julung kali diadakan itu juga menjadi bukti tohmahan yang dimainkan pembangkang bahawa kerajaan bankrap tidak tepat.

“Kita bukan tak ada duit tapi kita himpunkan pelbagai agensi kepada rakyat termasuk di luar bandar kerana dapatkan keberhasilan yang baik. Kita akan buat lebih banyak fiesta seperti ini di tempat lain.

“Kita mahu turun ke bawah dan jumpa dengan rakyat sebab pembangkang buat macam-macam tohmahan yang tidak berasas yang mana kita perlu terangkan bahawa apa yang kita lakukan ini adalah untuk rakyat,” katanya.

Najib berkata penggunaan perkataan Fiesta yang berasal daripada perkataan Sepanyol bermaksud ?pesta’ juga memberi pengertian bahawa program santai itu diadakan untuk rakyat berasa seronok dengan perkhidmatan yang disediakan kerajaan.

Ini selari dengan pengisian program yang berlangsung sehingga petang ini seperti Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) yang membawa perhidmatan kerajaan terus kepada penduduk selain tawaran potongan harga barangan keperluan antara lima hingga 20 peratus, katanya.

Selain itu, Najib berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mempromosikan nombor pendaftaran kenderaan NBOS pada masa akan datang.

Sebelum itu Mohd Irwan Serigar dalam ucapan alu-aluannya berkata program Mobile CTC telah dilaksanakan di 341 kawasan luar bandar seluruh Malaysia yang merupakan satu daripada inisiatif cetusan idea perdana menteri.

“Setiap kali saya berjumpa dengan perdana menteri, banyak idea baharu yang dikeluarkan beliau untuk kemajuan dan kebaikan rakyat termasuk dalam pelaksanaan NBOS kerana beliau mahu himpunkan agensi untuk kemudahan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Irwan Serigar meminta rakyat untuk tidak mudah mempercayai dakyah pembangkang bahawa kerajaan sedang bankrap yang tidak selari dengan penganjuran program-program berimpak tinggi untuk rakyat.

“Banyak projek sedang dilaksanakan dan banyak juga pelaburan luar negara masuk ke dalam negara kita, ini semua dapat dapat dilakukan kerana negara kita ditadbir dengan baik membolehkan ekonomi terus berkembang,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");