Berita Hari Ini

Ramai Tampil Beri Khidmat Keselamatan Percuma

KUALA LUMPUR: Susulan tragedi kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung yang mengorbankan 23 orang termasuk dua warden pagi Khamis, beberapa individu tampil menawarkan pelbagai khidmat keselamatan percuma kepada sekolah tahfiz dan pusat amal di seluruh negara.

Konsultan keselamatan Muhammad Khairul Ruslan, 39, dari Mersing, Johor antara individu terawal yang berbuat demikian dengan menawarkan latihan keselamatan, kesihatan, pencegahan kebakaran kepada pusat tahfiz, rumah anak yatim atau sekolah swasta yang dikelola secara persendirian, menerusi aplikasi WhatsApp.

Pengarah Urusan Khairuzita Resources and Consultancy itu berkata beliau berasa terpanggil untuk berbuat selepas tersentuh dengan tragedi yang menimpa anak-anak tahfiz tersebut, lebih-lebih lagi seorang daripada tujuh anaknya juga belajar di sekolah tahfiz di Muar.

“Sebagai seorang konsultan yang berdaftar di bawah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP), saya biasa memberi taklimat keselamatan kepada pekerja asing di tapak pembinaan untuk memastikan persekitaran tempat bekerja mereka selamat.

“Namun selepas mendengar kejadian kebakaran di Keramat itu, saya terfikir mengapa saya sebagai konsultan mampu memberi taklimat kepada warga asing bagaimana untuk menyelamatkan diri, sedangkan saya tidak pernah berkongsi mengenai teknik keselamatan kepada anak saya yang menuntut di pusat tahfiz,” katanya lapor Bernama.

Ikhlas menawarkan khidmat tersebut, Muhammad Khairul berkata beliau juga ingin memberikan kesedaran kepada pengusaha sekolah tahfiz dan pusat amal agar mengambil berat aspek keselamatan.

Katanya perkhidmatan ditawarkan beliau itu melibatkan 10 sukarelawan lain yang akan memberi penerangan mengenai keselamatan, menjalankan latihan simulasi dan membuat penilaian audit sebelum memberi syor untuk meningkatkan keselamatan di pusat masing-masing.

“Selepas kita kenal pasti kelemahan yang terdapat di pusat tahfiz, kita akan mengesyorkan dari segi keperluan keselamatan yang perlu ada untuk memastikan tempat selamat dan sekiranya mereka tidak mampu untuk menyediakan keperluan seperti alat pemadam api akibat kekangan kewangan, kita akan bantu pula mendapatkan dana untuk mereka,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");