Sukan Hari Ini

Saingan Dua Penjuru

PEREBUTAN jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bakal menyaksikan saingan dua penjuru dengan naib presiden, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dicabar usahawan wanita, Bibi Ramjani Ilias Khan, pada kongres pemilihan persatuan itu, Ahad ini.

Keghairahan dua tokoh perniagaan itu mencabar diri sekali gus menyaksikan kerusi nombor satu badan induk itu kembali menjadi rebutan setelah lebih sedekad tidak dipertandingkan.

Pertembungan satu lawan satu itu bagaimanapun sudah dijangka setelah dua lagi calon iaitu Naib Presiden Kafa, Datuk Rosmadi Ismail dan Pengarah Urusan Chengal Jati Sdn Bhd, Datuk Ir Shaari Hassan dikhabarkan berura-ura mahu menarik diri, sebelum ini.

Pertandingan jawatan timbalan presiden juga dijangka hangat dengan penyandang, Datuk Seri Afandi Hamzah ditentang Rosmadi yang merupakan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Kuota naib presiden yang menawarkan tiga kekosongan turut diramal berlaku saingan sengit apabila lima individu termasuk tiga muka baru mengesahkan bertanding iaitu Datuk Nik Izani Nik Ibrahim, Amir Ramadzan Ibrahim, Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir serta dua exco Kafa, Datuk Rosdi Ab Aziz dan Azman Ibrahim.

Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md Noor berkata, kesemua calon terbabit mengesahkan bertanding selepas tempoh pengesahan penerimaan pencalonan, berakhir jam 5 petang semalam.

Menurutnya, seramai 22 daripada 30 orang yang dicalonkan pada peringkat awal turut menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Kafa, bagi penggal 2017-2021 itu.

“Majlis pengundian untuk menentukan nombor calon akan diadakan pada Jumaat (hari ini), jam tiga petang di pejabat Kafa.

“Sehubungan itu, semua wakil calon yang bertanding dijemput hadir untuk menyaksikan majlis undian tersebut,” katanya menerusi kenyataan media di Kota Bharu, semalam lapor Sinar harian.

Menurutnya, bagi jawatan presiden, artikel 39 (2) diguna pakai dan menjelaskan bahawa dua pertiga undi diperlukan bagi menentukan pemenang jawatan tersebut.

“Jika jumlah undi tersebut tidak diperoleh, maka undian kali kedua akan diadakan di mana calon yang mendapat majoriti mudah dikira pemenang. Bagi jawatan timbalan, naib presiden dan jawatankuasa eksekutif dikira berdasarkan jumlah undi tertinggi,” katanya.

Tambahnya, jawatankuasa pemilihan bebas yang dipengerusikan peguam, Rosley Izmin akan mengendalikan proses pemilihan dan pengiraan undi, pada kongres tersebut.

Kafa mempunyai 10 ahli gabungan iaitu Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) yang diwakili lima perwakilan dan dua wakil daripada Persatuan Bola Sepak Melayu Kelantan dan Persatuan Bola Sepak Cina Kelantan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kepada 52 undi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");