Berita Hari Ini

‘Say Something Nice’ Tumpu Penghayatan Rukun Negara

PUTRAJAYA – Dalam usaha mengukuhkan perpaduan antara kaum di negara ini, kempen ‘Say Something Nice’ yang memasuki tahun keempat pelaksanaan akan menumpukan kepada penghayatan Rukun Negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup.

Beliau berkata bagi menarik lebih banyak perhatian, terutamanya dalam kalangan generasi muda, kempen anjuran Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) itu dijenamakan sebagai #RukunNegaraSomethingNice dan dilaksanakan secara pertandingan.

“Objektif #RukunNegaraSomethingNice adalah untuk menggalakkan seluruh rakyat memberi tumpuan dan memahami sepenuhnya konsep Rukun Negara melalui pengucapan kata-kata yang baik dan sopan dalam perbualan seharian dalam kalangan masyarakat berlandaskan lima prinsip rukun tersebut.

“Lima prinsip Rukun Negara yang menjadi teras pembangunan negara selama ini tidak boleh hanya dihafal, sebaliknya ia perlu difahami serta dihayati kerana objektif utama rukun itu adalah bagi mewujud dan menyemarakkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama di negara ini,” katanya ketika melancarkan kempen itu di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah JPNIN Baharin Idris.

Kurup berkata kempen #RukunNegaraSomethingNice yang menyasarkan peningkatan kesedaran dan penghayatan dalam kalangan golongan muda boleh berjaya jika 6,338 Kelab Rukun Negara di sekolah menengah dan rendah di seluruh negara serta 153 Sekretariat Rukun Negara di institusi pengajian tinggi dapat memainkan peranan lebih efisien menyemarakkannya dalam kalangan komuniti masing-masing.

Beliau berkata kempen menggalakkan masyarakat menulis ayat-ayat baik dan sopan di atas poster yang akan ditampal di kawasan komuniti, sekolah dan premis tumpuan orang ramai itu adalah agak unik dan secara langsung mampu menggalakkan mereka menjadikan perkara baik itu sebagai amalan dalam pergaulan dan perbualan seharian.

Sempena kempen #RukunNegaraSomethingNice, beliau berkata pihaknya juga akan menganjurkan pertandingan mencipta slogan atau ekspresi paling kreatif berkenaan Rukun Negara, satu inisiatif meningkatkan perasaan sayangkan negara dalam kalangan masyarakat.

Penyertaan hanya terbuka kepada peserta dalam kalangan Kelab Rukun Negara, Kawasan Rukun Tetangga dan Sekretariat Rukun Negara. Ekspresi Rukun Negara paling kreatif berpeluang menerima hadiah RM1,000, katanya. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");