shadow

PENYANYI Hafiz Hamidun sudah lama bersiap sedia untuk menyelesaikan kemelut rumahtangga dengan pengasas kosmetik, Joy Revfa, 30.

Hafiz, 32, ketika dihubungi mStar Online berkata dia tidak mahu ada kaitan dengan Joy atau nama sebenarnya Siti Arifah Mohd Amin selepas keputusan dikeluarkan oleh mahkamah pada esok (Khamis).

“Saya sudah lama bersedia dan nak selesaikan dengan cepat. Namun, untuk esok perbicaraan saya tidak ada buat persediaan apa-apa.

“Semuanya diuruskan oleh peguam saya. Dia yang sediakan segala dokumen untuk perbicaraan kes yang difailkan oleh Joy.

“Selepas dapat sahaja keputusan, saya tak nak lagi ada kaitan dengan dia. Banyak lagi perkara yang saya perlu uruskan,” kata Hafiz.

Menerusi laporan mStar Online pada 21 Ogos yang lalu, Joy telah memfailkan permohonan faraq iaitu pembubaran perkahwinan.

Pihak Joy akan mengemukakan beberapa dokumen bagi membuktikan perkahwinan yang dibina itu sah di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.

Konflik rumah tangga antara Hafiz dan Joy timbul apabila status perceraian wanita itu dengan bekas suaminya sebelum ini tidak jelas sama ada ia sah ataupun tidak.

Dalam pada itu Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam sudah menetapkan 19 September ini untuk pendengaran permohonan pengesahan pernikahan antara Joy dan bekas suaminya Datuk Ray Imran atau Ray di Thailand pada 2015.

Hafiz dan Joy Revfa diijabkabulkan di Masjid Negeri, Shah Alam pada 1 Mei 2017 dengan sekali lafaz. Mereka bertunang dua bulan sebelum itu, pada 23 Mac 2017.

Joy Revfa pernah berkahwin sebelum ini dan mempunyai seorang anak lelaki bernama Arryan Firdaus yang kini berusia tiga tahun.

Komen & Pendapat