PUTRAJAYA: Orang ramai yang terpedaya dengan panggilan kononnya dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, kemudian membayar sejumlah wang didakwa bagi menyelesaikan saman atau kes lain, diminta segera membuat laporan polis.
Ketua Polis Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hasan, berkata pihaknya menerima banyak pertanyaan mengenai kesahihan panggilan itu, namun tidak ada seorang pun mangsa yang membuat laporan kerana ditipu setakat ini.
“Kes ini sudah berlarutan sejak dua bulan lalu dan kita menerima sehingga 200 panggilan telefon sehari yang bertanyakan mengenai kesahihannya, namun sehingga hari ini, tidak ada sesiapa pun yang mengadu sudah ditipu.
“Justeru, kita tidak dapat mengesan sindiket ini, contohnya menjejak mereka melalui nombor akaun bank dan tidak ada maklumat berapa ramai yang sudah terpedaya,” katanya selepas menghadiri program korban IPD Putrajaya, di sini, hari ini.
Bulan lalu, Rosly mengeluarkan kenyataan meminta orang ramai supaya berhati-hati jika menerima panggilan berkenaan yang menggunakan nombor telefon IPD Putrajaya.
Lapor BH Online, beliau berkata, individu yang menelefon itu mendakwa kenderaan mangsa terbabit dalam kes kesalahan trafik atau langgar lari dan meminta mangsa memasukkan wang dalam akaun tertentu.