Berita Hari Ini

Sekolah Agama Pertama Diiktiraf IB World School

PUTRAJAYA: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu, Terengganu mencipta sejarah sebagai sekolah aliran agama pertama negara ini, menerima pengiktirafan International Baccalaurreate (IB) World School.

Memetik sumber BH Online, sekolah terbabit menerima pengiktirafan daripada International Baccalaurreate Organization (IBO) itu pada 17 Mei lalu selepas berjaya melaksanakan sistem pengajaran dan pembelajaran yang menepati kehendak IB bagi tempoh lima tahun.

Tiga lagi sekolah turut menerima pengiktirafan sama iaitu Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kota Baharu, Kelantan (pada 20 September 2016), Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan (pada 23 September 2016) dan SMK Seri Tualang, Temerloh, Pahang (pada 27 September 2016).

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof, berkata pencapaian itu sangat membanggakan kerana kini ada sembilan sekolah di negara ini berjaya menempa nama pada peringkat antarabangsa sebagai sekolah IB World School.

“Syabas dan tahniah kepada empat sekolah yang terpilih kerana berjaya mengikuti jejal langkah lima sekolah sebelum ini, sekali gus membuktikan keupayaan dan kecemerlangan dengan meraih pengiktirafan ini.

“Tempoh masa yang dilalui oleh sekolah ini berbekalkan semangat dan kesungguhan warganya ternyata tidak sia-sia, malah membuahkan hasil membanggakan.” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan IB World School-Middle Years Programme, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Profesionalisme Keguruan, Datuk Dr Amin Senin.

Khair berkata, pengiktirafan yang diterima itu jelas membuktikan tahap keupayaan dan profesionalisme guru di Malaysia adalah setanding dengan amalan piawaian standard antarabangsa.

“Program antarabangsa ini mempunyai misi untuk membangunkan generasi muda yang berpengetahuan, berfikiran aras tinggi, bersifat ingin tahu, berfikiran terbuka dan mahir berkomunikasi.

“Malah, kejayaan pelaksanaan program ini memerlukan pembabitan dan komitmen padu semua pihak, sama ada pada peringkat kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dalam memastikan semua sekolah berjaya memenuhi standard ditetapkan.

“Namun, cabaran lebih besar adalah usaha mengekalkan serta melestarikan kejayaan yang dikecapi dan saya percaya pihak sekolah dapat mengekalkannya untuk tempoh lima tahun bagi mendapat pengiktirafan selamanya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");