Berita Hari Ini

Semua Guru Mungkin Dibenar Rotan Pelajar

GENTING HIGHLANDS: Kementerian Pendidikan sedang meneliti untuk memberi semula kuasa merotan kepada semua guru dalam usaha menangani masalah sosial pelajar dan murid.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perbincangan lanjut perlu dilakukan kerana terdapat beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan segelintir masyarakat yang mahu guru-guru menggunakan kaedah selain rotan bagi mendidik pelajar.

“Para guru memang boleh memberi kaunseling kepada murid atau pelajar yang mempunyai masalah disiplin namun persoalannya keberkesanan kaedah itu masih boleh dipertikai.

“Jadi, kementerian perlu memperkemaskan garis panduan sedia ada selain memperbaharui mana-mana bahagian yang sepatutnya dengan lebih holistik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Dialog Profesional bersama Peserta Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) Ambilan Kedua 2017 di Ins­titut Aminuddin Baki (IAB), di sini hari ini.

Seramai 706 guru dari seluruh negara terlibat dalam kursus yang berlangsung selama enam bulan itu bagi membolehkan mereka memohon jawatan sebagai penge­tua atau guru besar.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin dan Timbalan Pengarah (Khidmat Latihan) IAB, Mistirine Radin.

Memetik dari Utusan Online, Mahdzir berkata, buat masa ini kuasa merotan hanya terhad kepada pengetua, guru besar dan guru disiplin dan berharap masyarakat dapat memahami situasi dan realiti perkembangan generasi hari ini.

Katanya, adalah tidak adil sekiranya masyarakat dan ibu bapa memandang negatif terhadap para guru yang menggunakan kaedah tersebut bagi mengawal kes salah laku dalam kalangan pelajar dan membentuk disiplin.

Dalam perkembangan yang sama, beliau turut menggesa semua pengetua dan guru besar di sekolah yang dikenal pasti sebagai sekolah ‘hotspot’ supaya berusaha mengubah situasi serta persekitaran sekolah masing-masing ke arah yang lebih positif.

Jelas beliau, sekolah-sekolah tersebut didapati mencatat kadar salah laku disiplin seperti gengsterisme, ponteng sekolah, pe­nyalahgunaan dadah dan buli dalam kalangan pelajar serta murid yang tinggi namun masih dalam kawalan.

“Walau bagaimanapun, sekolah ‘hotspot’ ini bukan bermakna sekolah itu terlalu teruk sehingga tidak dapat diselamatkan, sebenarnya hanya lima hingga enam orang terlibat dalam beberapa masalah,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah terlibat tidak perlu terlalu bimbang dengan keselamatan anak masing-masing.

“Usaha sedang dilakukan oleh pengetua dan guru besar bagi me­ngubah situasi sekolah ‘hotspot’, jadi masyarakat tidak perlu terlalu memandang negatif terhadap warga sekolah terlibat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");