Jenayah

Siasat Penipuan Skim Rumah Mampu Milik

SHAH ALAM: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat kes penipuan oleh syarikat yang didakwa terbabit dalam skim perumahan mampu milik tidak sah di seluruh negara.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar, berkata ia susulan laporan penipuan membabitkan skim perumahan mampu milik yang didapati tidak sah, termasuk yang tersebar menerusi media sosial.

“Jawatankuasa ini dijalankan secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang akan berkuat kuasa esok dan dipengerusikan Ketua Jabatan Perumahan Negara (JPN), K Jayaselan.

“Penubuhan ini dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), JPN dan beberapa jabatan berkaitan lain.

“Jadi, saya minta mana-mana pihak terbabit yang mendakwa ditipu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan nasib mereka yang tertipu, tampil memberi maklumat berserta dokumen berkaitan,” katanya, menurut laporan daripada BH Online.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja ke kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kota Damansara, di sini, hari ini.

Noh berkata, KPKT memandang serius isu terbabit dan sedang mengumpul maklumat mengenai syarikat tertentu yang tidak berdaftar serta mendapat kelulusan KPKT, yang dikesan mengambil kesempatan menipu pengguna.

Beliau berkata, syarikat terbabit juga tidak tertakluk di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1996 ( Akta 118).

“KPKT akan mengambil tindakan terhadap syarikat terbabit apabila maklumat lengkap diperoleh.

“Kita akan melihat dari dua aspek dari segi undang-undang jenayah atau sivil kerana dari segi jenayah pembeli mungkin tidak akan ganti rugi.

“Kerajaan akan lihat bagaimana boleh membantu mangsa yang ditipu dan tindakan terhadap syarikat terbabit. Setakat ini ada dua syarikat dikenal pasti terbabit dalam skim itu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, siasatan akan dijalankan terhadap syarikat itu.

Pada masa sama, Noh berkata, beliau tidak mahu usaha kerajaan untuk membina sejuta unit rumah mampu milik seluruh negara menjelang 2018 diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam perkembangan berkaitan, Noh turut mengumumkan peruntukan RM8 juta untuk kawasan DUN Kota Damansara bagi membaikpulik bumbung, lif dan mengecat bangunan di beberapa pangsapuri kos rendah dan sederhana di situ.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");