Berita Hari Ini

Sistem BioSkrin Diharap Tidak Timbulkan Masalah

JOHOR BAHRU – Kerajaan Malaysia berharap sistem BioSkrin yang bakal diperkenalkan Pihak Berkuasa Imigresen dan Pemeriksaan Singapura (ICA) di pusat pemeriksaan Tuas dan Woodlands, di sini, tidak akan menimbulkan permasalahan kepada pengguna jalan raya di negara ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau tidak menafikan setiap negara mempunyai polisi dan sistem imigresen sendiri dalam memastikan tahap keselamatannya.

Bagaimanapun, polisi itu, kata beliau harus mudah dan senang diakses oleh orang awam agar tidak mengakibatkan kesesakan dan kesusahan kepada pengguna.

“Kita juga ada sistem untuk memastikan keselamatan negara. Ini termasuk sistem Radio Frequency Identification (RFID) yang akan dilaksanakan kelak dan Caj Jalan Raya (RC) yang sudah dikenakan terhadap setiap kenderaan masuk ke Malaysia,” katanya lapor Bernama.

Diharap biar apapun polisi yang diperkenalkan Kerajaan Singapura, ia tidak akan menyukarkan rakyat Malaysia yang ingin ke republik itu dan ia perlu selesa dan memudahkan orang ramai, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Global Ali Baba bagi perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana (SME) pada Selasa.

Beliau diminta mengulas kenyataan ICA semalam yang mengumum akan memperluaskan secara progresif percubaan sistem BioSkrin untuk pelawat berkereta yang tiba dan berlepas menerusi pusat pemeriksaan Tuas dan Woodlands.

Dalam kenyataan itu, ICA berkata sistem BioSkrin tersebut akan mengimbas cap ibu jari pelawat apabila mereka menjalani pemeriksaan imigresen di kaunter kereta.

Menurut ICA, ia dilakukan bagi memantapkan pengesahan identiti para pelawat namun akan menyebabkan para pelawat mengambil sedikit masa untuk pemeriksaan.

Terdahulu, mengenai majlis itu, Liow meminta pengusaha SME agar mengambil peluang kewujudan projek ruang kargo (aeropolis) Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) bagi memasarkan produk mereka ke negara ASEAN dan China.

Katanya, seruan itu berikutan banyak SME di Malaysia menjalankan perniagaan secara tradisional dan oleh itu perlu berani mentranformasikan diri, sesuai dengan perubahan dunia.

“Misalnya anda boleh nampak perniagaan sundries shop (kedai runcit). Kebanyakannya telah ditutup dan diganti dengan pasar raya kini berikutan perubahan semasa, melainkan di tempat-tempat terpencil. ”

Jadi, dalam hal ini, SME kena menyesuaikan diri dengan perniagaan e-dagang agar mereka dapat keluar negara untuk meluaskan perniagaan ,” katanya yang juga Presiden MCA.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");