KUALA LUMPUR: Berdasarkan pencapaian memberangsangkan skuad futsal negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), ternyata sukan futsal juga perlu mendapat perhatian serius Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi liga yang lebih kompetitif dan lebih banyak pendedahan di luar negara.
Sukan futsal tidak diletakkan harapan tinggi untuk menyerlah dalam temasya KL2017, namun, anak buah Chiew Chun Yong membuktikan sebaliknya apabila meraih pingat perak pada ketika mereka hampir memenangi emas.
Menariknya, ia dilakukan tanpa persediaan mantap daripada pemain negara apabila beraksi dalam saingan liga selama enam bulan selain hanya menyertai satu kejohanan jemputan tahun ini.
Justeru, bekas pemain negara, Addie Azwan Zainal, berpendapat hala tuju sukan futsal perlu lebih jelas jika mahu terus bersaing di peringkat lebih tinggi.
“Malaysia tidak perlu mengikut Thailand, Vietnam. Kami perlu melihat kepada Indonesia yang telah digantung sebelum ini dan memiliki perkembangan yang telah dilakukan dengan saingan liga yang kompetitif untuk meningkatkan mutu permainan mereka,” katanya.
Tugasan skuad futsal negara selepas ini adalah Kejohanan Futsal AFF di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam pada Oktober.
Namun, tiada kejohanan yang disertai skuad negara susulan tiada penyertaan dalam Sukan Dalam Dewan Asia di Turkmenistan dan Kejohanan Jemputan OFC di New Zealand, bulan ini, lapor portal Stadium Astro.
“Saya percaya futsal Malaysia mampu melayakkan diri ke Piala Dunia. Saya percaya perkara ini jika kita terus memberikan sokongan yang penuh bagi meningkatkan lagi pengalaman pemain-pemain,” kata Chun Yong.