Sukan Hari Ini

Terengganu Tumpaskan PDRM 3-0

PASUKAN Terengganu berjaya mengekalkan rentak kemenangan apabila mudah menumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM), 3-0 dalam aksi kedua terakhir saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Lapor Sinar Harian pada perlawanan itu menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan rentak seimbang apabila masing-masing berbalas serangan dalam usaha mencari jaringan awal.

Begitupun, skuad Penyu yang memperagakan aksi lebih berdisplin berjaya menamatkan kebuntuan gol pada minit ke-18 menerusi rembatan kemas Mohd Faiz Mohd Nasir selepas bijak menyambut hantaran silang Kipre Tchetche untuk membawa Terengganu di depan.

Jaringan itu bagaimanapun tidak melemahkan semangat The Cops apabila bangkit mengintai peluang untuk menyamakan kedudukan, namun beberapa gerakan ke gawang gol pelawat berjaya dipatahkan benteng pertahanan Terengganu.

Sebaliknya, pelawat yang memperkemaskan rentak permainan nyaris menambah jaringan menerusi percubaan Mohd Faiz Mohd Nasir (minit 28) dan Issey Nakajima (minit 29) tetapi gagal menemui pintu gol.

Dua minit berselang, giliran tuan rumah pula mencemaskan gawang skuad Penyu menerusi sepakan percuma kapten pasukan PDRM, Safuwan Baharuddin, namun mudah dinafikan Mohd Suffian Rahman Kungi Rahman.

Terengganu yang terus mengasak gawang PDRM akhirnya berjaya menggandakan jaringan menerusi penyerang importnya, Kipre Tchetche pada minit ke-34 hasil hantaran Mohd Faiz Mohd Nasir dengan pelawat mengukuhkan kedudukan 2-0.

Bersambung babak kedua memperlihatkan skuad Penyu terus garang dengan melakukan percubaan ke gawang tuan rumah pada minit ke-46, namun rembatan Issey Nakajima sekadar melepasi palang gol.

Usaha Issey Nakajima dalam mencetak namanya selaku penjaring gol akhir tunai apabila berjaya memanfaatkan hantaran Mohd Faiz Mohd Nasir di depan gawang PDRM untuk gol ketiga Terengganu pada minit ke-56.

Kem tuan rumah yang cuba bangkit mencari jaringan saguhati akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan itu apabila skuad Penyu terus menggenggam erat tiga mata penuh sehingga tamat perlawanan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");