MELAKA: “Tiada sebab tidak boleh tewaskan Hong Kong,” kata legenda bola sepak negara Datuk Soh Chin Aun mengulas pertemuan kedua-dua pasukan pada aksi Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, malam esok.
Menurutnya, banyak kelebihan memihak Malaysia yang beraksi di tempat sendiri dan hampir kesemua pemain arif dengan cuaca, keadaan padang dan persekitaran di venue berkenaan berbanding pelawat.
Katanya, paling penting sokongan peminat dan aksi di depan penyokong setia Harimau Malaya pastinya menjadi pemangkin buat anak buah jurulatih Nelo Vingada.
Beliau berkata, di atas kertas juga Malaysia memiliki kelebihan dalam banyak aspek walaupun prestasi semasa menjadi penentu.
“Kepada penyokong, saya minta mereka hadir ke stadium untuk sama-sama memberi sokongan terhadap pasukan kebangsaan yang sudah lama tidak beraksi di Piala Asia.
“Kehadiran mereka mampu menyuntik semangat juang pemain. Lawan pasti menghadapi tekanan hebat daripada tuan rumah, termasuk penyokong, justeru kesempatan harus digunakan oleh pemain untuk menterjemah keputusan positif,” kata pemenang pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974 itu.
Lapor BH Online, Chin Aun berkata, pada eranya Hong Kong dilihat pasukan yang agak kuat, namun Malaysia ketika itu terutama pada era 70-an tidak berdepan masalah untuk menewaskan lawan.
Namun beliau menasihatkan pemain supaya tidak terlalu yakin dan perlu berhati-hati berdepan lawan, termasuk serangan balas pantas mereka yang perlu dikekang, selain kekal fokus sepanjang permainan.
Bekas pemain Selangor dan Melaka serta kapten kebangsaan era 70-an dan 80-an itu berkata, sudah tiba masanya Harimau Malaya kembali bersaing di pentas Asia seperti mana yang pernah dinikmatinya suatu ketika dulu.
Selain Hong Kong, Chin Aun berkata Korea Utara juga adalah pasukan kuat, selain pendahulu kumpulan Lubnan.