BUKIT KAYU HITAM: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebentar tadi tiba di Kompleks Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) di sini, sempena lawatan kerja sehari ke Kedah.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, dijadual mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa tertinggi keselamatan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini.
Selain itu, beliau dijadual merasmikan program pengagihan daging korban pada majlis disertai pegawai agensi penguatkuasaan zon utara dan masyarakat setempat di lokasi sama.
Yang turut mengiringi Ahmad Zahid, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.
Berdasarkan maklumat, mesyuarat keselamatan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, antara lain bagi membincangkan keperluan perjawatan untuk operasi 24 jam ICQS.
Mesyuarat juga dijadual membincangkan isu keselamatan lain seperti pengoperasian, logistik serta langkah peningkatan keselamatan di sempadan.
ICQS Bukit Kayu Hitam yang dibangunkan menerusi dua fasa dengan kos RM425 juta bertujuan menggantikan kompleks sedia ada yang akan menempatkan 10 agensi.
Ini kali ketiga Timbalan Perdana Menteri turun meninjau projek ini selepas lawatan pertama dan kedua, masing-masing pada April dan Jun lalu.