Berita Hari Ini

Tragedi Tahfiz: 12 Jenazah Dikebumi Di Raudhatul Sakinah

KUALA LUMPUR: Dua belas daripada 23 mangsa yang terkorban dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung akan disemadikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda di sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kesemua 12 jenazah itu akan disemadikan selewat-lewatnya Jumaat.

“Bagaimanapun, kita menunggu keputusan proses pengecaman mayat mangsa yang dijangka selesai pada 3.30 petang ini.

“Sekiranya keputusan dikeluarkan awal, kita akan segerakan proses pengebumian jenazah berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan di pusat tahfiz itu.

Jamil Khir berkata jenazah yang lain akan dikebumikan di tanah perkuburan berdasarkan keputusan keluarga masing-masing. “Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyediakan enam pasukan khas untuk tujuan pengurusan jenazah kesemua 23 mangsa kebakaran itu. Hanya tunggu keputusan ‘pengecaman identiti mangsa ‘(DVI),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata baki jenazah yang terkorban dalam tragedi, yang dianggap terburuk dekad ini, akan dikebumikan selewat-lewatnya hari ini.

“Pada 8.30 pagi tadi, saya telah mempengerusikan mesyuarat antara JAWI dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengenai pengurusan jenazah. Kami juga sudah menghubungi majlis agama negeri di Perak dan Kelantan,” katanya.

Mengiringi Jamil Khir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Tan Sri Othman Mustapha.

Sementara itu, JAWI dalam satu kenyataan berkata empat jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang dan masing-masing satu jenazah di tanah perkuburan di Taman Kosas, Dato’ Keramat, Taman Medan, Jalan Klang Lama dan Bukit Kuari, Cheras.

Tiga lagi jenazah, masing-masing akan dikebumikan di tanah perkuburan di Paroi Jaya, Seremban (Negeri Sembilan), Pengkalan Kubur (Kelantan) dan Sungkai (Perak) lapor Bernama.

Dalam pada itu, sepasukan anggota forensik polis dan bomba masih menjalankan kerja penyiasatan di lokasi bagi mengenal pasti punca kebakaran termasuk kerja pengukuran terhadap elemen objek di tingkat 3 bangunan tahfiz itu.

Dua puluh satu pelajar dan dua warden yang juga guru terkorban dalam kebakaran di pusat tahfiz itu awal pagi semalam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");