Berita Hari Ini

Tutup Pusat Tahfiz Yang Abaikan Keselamatan

PORT DICKSON – Kerajaan Negeri Sembilan memberi tempoh tiga bulan kepada semua pusat tahfiz di negeri ini untuk mematuhi aspek keselamatan mengikut spesifikasi bomba.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya telah mengarahkan semua jabatan berkaitan terutamanya bomba untuk melakukan pemeriksaan di setiap premis pusat tahfiz.

Menurutnya, bagi memastikan pusat tahfiz mematuhi aspek keselamatan berdasarkan spesifikasi bomba.

“Lepas ni kita tak nak lagi berkompromi tentang isu keselamatan dan jika didapati pusat tahfiz tidak mengikut spesifikasi keselamatan bomba, kita akan arahkan pusat tahfiz itu ditutup.

“Dan jika pengusahanya degil, kita akan heret ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Kembara Jelajah Anti Rasuah sempena Sambutan Ulang Tahun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke 50 di Dataran Sri Kemang Telok Kemang semalam.

Mohamad berkata, kita tidak mahu lagi insiden meragut nyawa akibat pengabaian aspek keselamatan.

“Dan perkara ini akan dikuatkuasakan segera yang mana data pusat tahfiz dari Jabatan Agama Islam dan Jabatan Pelajaran juga telah diserahkan kepada saya.

“Saya telah beri jangka masa, jika tak patuh kita akan arahkan tutup.

“Jangan salahkan saya, kata Mat Hasan kejam ye, saya minta maaf kita tak nak lagi tragedi berlaku, ia dah terlampau banyak sangat, jadi biar orang kata kita jahat, saya nak supaya isu keselamatan diberi keutamaan,” katanya.

Mohamad menambah, pihaknya juga telah meletakkan sasaran menjelang tahun 2025, semua sekolah agama bantuan kerajaan akan menyediakan aliran tahfiz.

“Sekarang hanya ada tiga sekolah yang sediakan aliran tahfiz, disamping tahfiz, disekolah ini juga diajarkan matapelajaran arus perdana.

“Mereka boleh menduduki peperiksaan awam dan melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi sama seperti pelajar dari sekolah lain,” katanya.

Mohamad memberitahu, kerajaan sejak dahulu lagi tidak pernah mengabaikan pusat tahfiz dan bantuan sama ada dari kerajaan pusat dan kerajaan negeri sentiasa disediakan peruntukan khas.

“Pusat tahfiz ni ada banyak jenis, ada yang berdaftar dan ada yang ditubuhkan oleh kerajaan, swasta, orang perseorangan dan masyarakat.

“Kerajaan negeri melalui Baitulmal tidak pernah mengabaikan pusat tahfiz, bantuan berkala dan bantuan perkapita sentiasa dilaksanakan.

“Malah bagi pusat tahfiz yang mendaftar, kita turut berikan bantuan biasiswa kepada pelajarnya.

“Tapi isunya sekarang adalah pengusaha pusat tahfiz yag tidak mahu mendaftar kerana mereka berpandangan jika mendaftar terpaksa ikut peraturan itu ini dan macam-macam yang difikirkan menyusahkan mereka,” katanya.

Mohamad berkata, ia berkait dengan duit zakat dan zakat ini perlu diurus dengan baik mengikut asnaf yang lapan.

“Tapi jangan sampai mengatakan duit zakat berjuta-juta tapi pusat tahfiz miskin.

“Masalahnya ada sebahagian pusat tahfiz persendirian yang tidak memberi kerjasama,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");