Jenayah

12 Kaki Judi Tempatan Ditahan Polis Di Teluk Intan

TELUK INTAN – Polis menahan 12 lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kegiatan judi menerusi serbuan Op Dadu Khas di sebuah rumah di Jalan Chui Chak, Langkap di sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata kesemua kaki judi yang berumur 20 hingga 57 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4 petang ketika sedang leka bermain judi dalam talian.

Beliau berkata pihaknya merampas 11 komputer riba pelbagai jenama, 11 tetikus, 11 pengecas bateri komputer riba, sebuah telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM260.

“Hasil siasatan mendapati kegiatan perjudian itu baru beroperasi selama dua hari sebelum polis berjaya melakukan serbuan di rumah yang dihuni oleh seorang daripada kaki judi berkenaan.

“Polis juga sedang menjalankan siasatan terhadap penganjur kegiatan perjudian itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di sini hari ini.

Menurut Mohd Marzukhi, kesemua suspek direman selama empat hari bermula 14 Okt dan kes disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya menahan seorang lelaki tempatan dipercayai pengedar dadah serta merampas pelbagai jenis dadah seberat 44.35 gram di sebuah rumah tidak bernombor di Sungai Manik dekat sini, Jumaat lepas.

Beliau berkata suspek yang berusia 20-an itu didapati positif dadah jenis methamphetamine dan tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

“Polis menemui dadah jenis heroin seberat 16.25 gram, dadah jenis syabu dan methamphetamine seberat 28.1 gram di rumah tersebut serta merampas empat unit alat penimbang digital, potongan kerajang aluminium, sebotol kaca lutsinar dan alat pemetik api yang dipercayai digunakan untuk kegiatan terbabit,” katanya.

Beliau berkata polis turut merampas dua kereta dan sebuah motosikal dipercayai milik suspek, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes berasingan, Mohd Marzukhi berkata pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 20-an kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan curi dan pecah rumah pada 10 Okt lepas.

Menurutnya, suspek yang tidak bekerja ditahan di luar perkarangan Mahkamah Majistret Teluk Intan di sini kira-kira pukul 11 pagi ketika mahu menghadiri perbicaraannya berkaitan kes dadah.

Katanya penahanan suspek adalah hasil soal siasat yang dilakukan ke atas dua rakannya yang berjaya ditahan polis sebelum ini dan telah dituduh di mahkamah atas kesalahan yang sama.

Beliau berkata hasil soal siasat yang dijalankan mendapati suspek menyimpan kira-kira 50 barangan curi di sebuah rumah kosong di sini yang dianggarkan bernilai RM30,000.

“Antara barangan yang dicuri ialah generator, ‘water jet’, kompresor udara, mesin rumput serta enjin bot dan hasil tangkapan itu polis berjaya menyelesaikan 28 kes berkaitan curi dan pecah rumah di sekitar kawasan Hilir Perak,” tambah beliau.

Mohd Marzukhi berkata suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine serta mempunyai rekod jenayah lampau antaranya dadah serta samun dan kini ditahan selama seminggu bermula 11 Okt lepas. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");