Sukan Hari Ini

Amirol Tidak Sabar Tunjuk Belang

DHAKA: Pemain pertahanan hoki negara, Muhd Amirol Aideed Muhd Arshad tidak pernah menyangka dia akan terpilih ke saingan Piala Asia di Dhaka, Bangladesh bermula hari ini hingga 22 Oktober.

Tetapi kecederaan yang dialami Izad Hakimi Jamaluddin, Firhan Ashaari dan Meor Muhamad Azuan Hasan membuka peluang kepadanya untuk membuat penampilan senior selepas membantu Malaysia memenangi emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dalam acara hoki dalam dewan, Ogos lalu.

Amirol jelas gembira apabila segala kerja kerasnya ketika latihan kini membuahkan hasil dan mahu menggunakan pentas Piala Asia sebagai medan mengukuhkan tempatnya dalam pasukan.

“Sejak hari pertama saya dijemput menyertai latihan pasukan senior sehingga hari terakhir pemilihan, saya memberi yang terbaik tetapi tidak menyangka akan tersenarai untuk ke kejohanan besar seperti Piala Asia ini.

“Saya menerima berita baik ini hanya 11 jam (sehari sebelum skuad ini dinamakan pada Rabu minggu lalu) dan kini sudah tidak sabar untuk membantu rakan sepasukan menewaskan pasukan terkuat di Asia dan beraksi di final,” kata pemain berusia 22 tahun itu.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri semula dengan hoki padang selepas hampir enam bulan menjalani latihan hoki dalam dewan.

“Saya adalah pemain hoki padang yang diarah beraksi dalam acara hoki dalam dewan dan saya tiada masalah untuk kembali bermain hoki padang.

“Dan sasaran peribadi terkini saya adalah untuk mengukuhkan tempat dengan memberikan persembahan terbaik untuk pasukan dan dipertimbangkan untuk skuad ke Piala Dunia 2018,” katanya.

Amirol pernah meraih kejayaan awal di peringkat remaja ketika itu bersama Skuad Projek 2016 di bawah kendalian Arul Selvaraj yang memenangi pingat emas Sukan SEA 2015 di Singapura.

Piala Asia menjadi pentas kelayakan terakhir untuk ke Piala Dunia bagi pasukan benua Asia dan sebanyak tiga pasukan dari sini sudah mengesahkan tempat ke India 2018.

India sebagai tuan rumah dan Malaysia yang meraih tempat keempat di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia, serta pasukan ranking ketujuh dunia, Pakistan – semuanya sudah mara ke Piala Dunia.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");