Jenayah

Asrama Tahfiz Terbakar Ketika Pelajar Mengaji Al-Quran

SHAH ALAM: Sebahagian daripada ruang asrama sebuah sekolah tahfiz dekat Kampung Bukit Lanchung di sini, rosak akibat kebakaran malam tadi.

Kejadian kira-kira jam 8 malam di Akademi Ihya Ul-Quran Tahfiz itu dipercayai berpunca daripada kebakaran kecil yang berlaku pada tengah hari tadi, apabila sebuah bantal terbakar selepas terkena bara ubat nyamuk.

Pelajar Muhammad Farhan Muzabfar, 14, berkata ketika kejadian, ada 13 pelajar di sekolah berkenaan yang sedang mengaji Al-Quran sebelum menyedari asrama mereka yang terletak di tingkat dua bangunan itu terbakar.

“Kami sedang mengaji selepas solat Maghrib sebelum seorang rakan yang keluar ke tandas terhidu bau pelik serta ternampak cahaya terang dari tingkat atas.

“Rakan itu segera memaklumkan kepada kami dan guru dalam kelas sebelum beberapa orang naik memeriksa dan mendapati dapati asrama sedang terbakar.

“Ustaz segera mengarahkan kami keluar menyelamatkan diri dan menghubungi pihak berkuasa,” katanya.

Warden asrama, Mohd Khairul Ni’mat Doll Kawaid, berkata dalam kejadian tengah hari tadi, sebiji bantal terbakar akibat terkena bara ubat nyamuk.

Katanya, beberapa pelajar memaklumkan kepadanya mengenai kejadian itu sebelum mereka menjalankan pembersihan bagi memastikan kebakaran tidak merebak.

“Pelajar menyembur air pada bantal berkenaan sebelum membersihkan keseluruhan asrama.

“Bagaimanapun, mungkin bara pada bantal itu terkena bahagian lain tanpa disedari dan terbakar secara perlahan-lahan kerana antara tengah hari hingga jam 8 malam, tidak ada tanda asap atau kesan bakar,” katanya.

Mohd Khairul berkata, pihaknya bersyukur kerana kebakaran itu tidak membabitkan kecederaan.

Ditanya mengenai prosedur keselamatan di akademi itu, Mohd Khairul berkata, pusat tahfiz sudah dilawati Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) susulan kebakaran di sebuah sekolah tahfiz di Keramat, Kuala Lumpur yang meragut nyawa 23 pelajar serta gurunya bulan lalu.

Beliau berkata, pengurusan akademi tahfiz itu sudah menyediakan alat pemadam api dan membuat pengubahsuaian terhadap tangga kecemasan seperti disarankan jabatan berkenaan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata pihaknya menggerakkan 14 anggota dan pegawai bersama dua jentera serta sebuah ambulans Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 8.28 malam.

Beliau berkata, anggotanya berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan lain premis terbabit sebelum memadamkannya.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya 20 peratus daripada bilik asrama berkeluasan 83 meter persegi itu musnah dalam kebakaran terbabit.

Punca sebenar kebakaran masih disiasat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");