Isu Panas, Perak Hari Ini

Azmin ‘Gopoh-Gapah’ Dakwa ADAM50 Tiru TAWAS: Saarani

IPOH: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak menyelar pandangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali yang mendakwa Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi pembentangan Bajet 2018, adalah mirip Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS).

Menurut Datuk Saarani Mohamad, tindakan Timbalan Presiden PKR itu dilihat sebagai tindakan yang angkuh, sombong dan tergopoh-gapah.

“Saya nak ingatkan bahawa TAWAS itu bukan diperkenalkan dia (Azmin), tetapi ia dimulakan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim (Menteri Besar sebelumnya).

“Adalah tidak benar kalau nak kata Perdana Menteri meniru Selangor kerana, Negeri Perak telah pun mewujudkan skim yang lebih kurang sama .

“Pada penghujung tahun 2009, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir membuat ucapan bajet sulung beliau sebagai menteri besar, dan ketika itu, beliau mengumumkan Tabung Pendidikan Amanjaya yang mana pemberian sebanyak RM200 kepada setiap kelahiran anak di Perak, menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN),” katanya.

Walaupun begitu, tambahnya, beliau tidak mengatakan Perdana Menteri meniru Negeri Perak kerana menurutnya, sebelum pembentangan Bajet dilakukan, Najib telah terlebih dahulu meminta pandangan dan cadangan dari segenap lapisan masyarakat.

“Saya nak sebutkan kepada orang ramai agar tak perlu terpedaya (terhadap dakwaan) yang mengatakan bajet Negeri Selangor, atau Menteri Besar Selangor lebih hebat daripada Perdana Menteri.

“Kemudian mereka (pembangkang) mengatakan bajet yang dibentangkan itu pula ciplak. Itu silap besar.

“Tak mungkin kita nak tiru kerana dalam bajet mereka tidak ada membayangkan dari mana wang itu diperolehi dan tidak tahu (dengan jelas) bagaimana hendak membelanjakan semua itu,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan berkata, pembangkang sebenarnya pada awal-awal lagi, sebelum Bajet 2018 dibentangkan, telah menolak semuanya, tanpa mengkaji dengan mendalam.

“Saya nak menarik perhatian kepada mereka-mereka yang mulut celupar ini, termasuk Ketua Armada, yang memperlekehkan usaha Kerajaan Persekutuan supaya mendengar betul-betul Bajet 2018 ini.

“Kemudian baca, lihat, dan menganalisa ringkasan teks ucapan bajet itu terlebih dahulu dan bukanya sebaik sahaja selesai pembentangan, keluar dari Parlimen, terus ‘belasah’,” katanya.

Pada masa sama, Saarani juga menyelar tindakan beberapa pemimpin pembangkang yang menafikan kebaikan Bajet 2018 padahal, sebelum ini mereka juga pernah berada di kerusi kerajaan.

“Dahulu, nama-nama seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal malah, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, turut bermati-matian mempertahankan bajet kerajaan ketika itu.

“Dr Mahathir pun ‘kena balun’ dengan Lim Kit Siang dan mendiang Karpal Singh tapi apa kata beliau?

“’Itulah suara-suara sumbang pembangkang’, ‘Pembangkang tidak ada idea’, ‘Pembangkang fikiran singkat’, ‘Pembangkang tiada latar belakang ekonomi’, dan kini kita juga nak beri jawapan yang sama juga kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Selasa.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");