Berita Hari Ini

Bajet 2018: Pelbagaikan Infrastruktur Luar Bandar

SIK – Bajet 2018 yang bakal dibentangkan 27 Okt ini, diharap akan turut memberi penekanan terhadap usaha mempelbagaikan infrastruktur yang dapat merancakkan lagi ekonomi penduduk kawasan luar bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Kedah, Datuk Mohd Tajuddin Abdullah berkata kawasan luar bandar lazimnya mempunyai keunikan dan keistimewaan yang berpotensi dibangunkan untuk menjana ekonomi penduduk setempat.

“Kawasan empangan atau tasik sebagai contoh, mampu dijadikan tarikan pelancongan, apatah lagi jika ada tambahan infrastruktur atau prasarana bagi melengkapkan lagi landskap sedia ada.

“Saya yakin perdana menteri sentiasa mendengar pandangan dan membuat pertimbangan sebaiknya, seterusnya mengumumkan bajet yang dapat memanfaatkan penduduk kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) peringkat daerah Sik di perkarangan Kompleks Sukan Daerah Sik, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Tajuddin meminta kerajaan pusat mempertimbangkan pembinaan sebuah lagi Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di negeri ini, bagi memberi perkhidmatan kepada masyarakat luar bandar di bahagian selatan Kedah.

“Kedah mempunyai dua UTC (Pusat Transformasi Bandar) di Sungai Petani dan Alor Setar, serta satu RTC di Napoh, Jitra.

“Hanya satu RTC akan dibina di setiap negeri, namun kita mohon kepada kerajaan pusat dapat membina satu lagi RTC di negeri ini, di bahagian selatan Kedah,”katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 21 agensi dan jabatan kerajaan menyertai program Mobile CTC anjuran Kementerian Kewangan dan Pejabat Daerah Sik.

Program kali kedua yang diadakan bagi mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat khususnya penduduk luar bandar melalui kaunter bergerak, turut menawarkan perkhidmatan pemeriksaan mata percuma, serta 100 cermin mata percuma kepada warga emas. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");