Jenayah

Bomba Sifatkan Kes ‘Api Misteri’ Sebagai Luar Biasa

KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan mengklasifikasikan kebakaran membabitkan dua rumah di Kampung Penambang, di sini, bulan lalu akibat kemunculan api secara tiba-tiba adalah sebagai luar biasa.

Pengarahnya, Nazili Mahmood, berkata sehingga kini, pihaknya masih gagal mengenalpasti punca yang menyebabkan kebakaran itu berlaku.

Beliau berkata, kajian secara mendalam perlu dilakukan bagi mencari punca sebenar memandangkan ia adalah kes pertama berlaku yang tiada dalam pengamatan pihaknya.

“Daripada maklumat percakapan saksi, mungkin wujudnya api misteri sehingga memusnahkan secara fizikal dua kediaman di sini,” katanya selepas mengadakan lawatan di lokasi kediaman keluarga Zainab Sulaiman, 83, yang terbakar bersama rumah jirannya, di sini, lapor BH Online.

Dalam lawatan itu, Nazili turut menyampaikan empat alat pemadam api kepada keluarga berkenaan dan jiran supaya tindakan pantas boleh diambil sekiranya kebakaran berlaku lagi.

Media tempatan sebelum ini melaporkan satu keluarga di Kampung Penambang, di sini dihantui dengan kemunculan api misteri sehingga kerap berlaku kebakaran secara tiba-tiba di kediaman mereka sejak lima tahun lalu.

Namun pada 19 September lalu, kebakaran itu memusnahkan seluruh kediaman keluarga berkenaan dan sebuah rumah jiran seratus peratus menyebabkan kesemua mangsa tinggal sehelai pinggang.

Bagaimanapun, api misteri yang sering mengganggu keluarga itu sekali lagi muncul secara tiba-tiba dan membakar pakaian keluarga itu, kelmarin sehingga sempat disaksikan beberapa wartawan yang hadir kira-kira jam 5.15 petang.

Sementara itu, Zainab berkata, dia bersama menantunya, Ropeah Zakaria, 50, dan cucu-cucunya, Wan Mohd Faiz Wan Hanafi, 21, Wan Nor Fatihah, 19, dan Wan Nor Fatini, 17, terpaksa mengharapkan belas ihsan orang ramai bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Saya harap terdapat pihak dapat membantu supaya kami bebas daripada dihantui kejadian ini. Sekarang ini saya terpaksa tidur di rumah saudara sebelum kembali ke sebuah khemah di depan kediaman yang terbakar ini untuk berteduh,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");