IPOH:Polis Perak menafikan insiden pergaduhan antara dua kumpulan hingga timbul dakwaan berlaku pergaduhan antara dua kaum sepertimana yang tular dalam sebuah video, semalam berunsurkan perkauman.
Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata pergaduhan itu berpunca daripada perasaan cemburu melibatkan sepasang kekasih berlainan bangsa yang mengalami perselisihan faham.
Malah tegasnya pergaduhan dalam sebuah video yang tular itu, tiada kaitan langsung dengan konflik perkauman.
“Pergaduhan itu tiada sangkut paut dengan konflik antara kaum, ia hanya berkaitan isu seorang lelaki yang ada selisih faham dengan kekasihnya. Mungkin kerana perasaan cemburu.
“Jadi kita minta, orang ramai untuk menghentikan apa juga tanggapan berkaitan isu perkauman ini kerana ia sama sekali tidak benar,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Isnin lalu, polis mengesahkan menerima dua laporan polis berkaitan kes pergaduhan yang mengakibatkan kecederaan berlaku di Ipoh Garden.
Laporan pertama diterima pada jam 1.30 pagi melibatkan seorang wanita mendakwa dipukul sekumpulan lelaki di hadapan sebuah bank di Ipoh Garden. Kejadian menyebabkan wanita itu cedera di jari, kepala dan kaki.
Laporan kedua pula diterima satu jam selepas itu daripada seorang lelaki mendakwa dipukul sekumpulan lelaki dan wanita di sebuah pusat hiburan di Ipoh Garden.
Mangsa yang mengalami cedera di kepala, badan, leher dan kaki dituduh mencari pasal dengan wanita terbabit.
Hasnan berkata, kedua-dua kes itu kini disiasat dibawah Seksyen148 Kanun Keseksaan.