IPOH:Buat pertama kalinya, Gua Tempurung Kampar bakal menjadi lokasi dua acara besar iaitu Double Challenge Foot Orienteering (FOOT O) dan Mountain Bike Orienteering (MTB O) yang memasuki siri kedua pengajurannya pada 27 hingga 29 Oktober ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi,Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, penganjuran Perak MyO Asia Cup 2017 telah diiktiraf International Federation yang telah memenuhi spesifikasi serta piawaian sukan Orienteering antarabangsa.
“Pemilihan acara ini merupakan kali ketiga sejak tahun 2014 lagi dan ia satu pendekatan bagi menjenamakan semula sukan Orienteering ini malah Perak menjadi lokasi kepada acara yang semakin mendapat sambutan.
“Sukan Orienteering berkonsepkan navigasi kompas dan pementaan dan beberapa format yang digunakan iaitu FOOT Orienteering dan Mountain Bike Orienteering bersesuai dengan lokasi Gua Tempurung,” katanya pada satu sidang media di PORT hari ini.
Sementara itu bagi Pengarah kejohanan, Shamsuri Abd Latif, siri kali ini ia bakal disertai oleh peserta dari negara Eropah seperti Norway dan Republik Czech.
Katanya lagi, pemilihan lokasi Gua Tempurung berikutan landskapnya yang menarik dan bersesuaian dengan aktiviti luar selain mempromosikan produk pelancongan di Perak.
Bagi acara Foot Orienteering akan dipertandingkan pada 28 Oktober manakala bagi Mountain Bike Orienteering adalah pada 29 Oktober ini.
Kejohanan anjuran MEOSC Malaysia Orienteering club menerusi siri pertama yang dianjurkan di Parit Buntar pada 14 Mei lalu, telah mendapat penghargaan daripada federasi Orienteering antarabangsa juga negara luar seperti Hong Kong,Taiwan, Brunei, Singapura dan Indonesia.
Pendaftaran masih terbuka kepada anda yang berminat dan anda boleh mendapatkan maklumat serta mendaftar di pautan berikut www.cyclingevents.my/myoasiacup2017 yang masih dibuka kepada umum sehingga hari pertandingan.