Jenayah

Dicekup Ponteng Solat Jumaat

JERTIH – Tujuh lelaki ditahan selepas dipercayai menjadikan sebuah pentas di Padang Astaka Jertih dekat Gong Kemuntong sebagai tempat untuk ponteng solat Jumaat.

Operasi tersebut melibatkan seramai 14 anggota penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Besut yang membuat pemantauan awal sejak sebulan lalu.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim berkata, mereka yang berusia awal 20-an itu ditangkap ketika melepak di kawasan tersebut dengan memakai baju Melayu dan berkopiah, kira-kira jam 1.45 petang Jumaat lepas.

Menurutnya, mereka memakai pakaian seumpama itu dipercayai untuk mengaburi mata ahli keluarga kononnya mereka keluar rumah untuk ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat.

“Kami bertindak selepas mendapat maklumat awam berkaitan perilaku remaja lelaki terbabit yang sering melepak di situ ketika waktu solat Jumaat,” katanya.

Wan Mohd berkata, sebelum serbuan dilakukan, beberapa anggota penguat kuasa wanita ditempatkan di kawasan tersebut untuk memantau kumpulan terbabit.

Tambahnya, sebaik selesai solat Jumaat, penguat kuasa lelaki bergegas ke lokasi dan menahan mereka yang kebanyakan tinggal di sekitar kawasan tersebut.

“Kesemua yang ditahan memberi kerjasama dan dibawa ke Pejabat Agama Daerah Besut untuk tindakan lanjut,” katanya lapor Sinar Harian.

Wan Mohd berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 iaitu mana-mana lelaki akil baligh yang tidak menunaikan solat Jumaat di masjid kecuali terdapat keadaan dibenarkan hulum syarak merupakan suatu kesalahan.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-dua sekali.

“Pihak Pejabat Agama Daerah Besut dan daerah lain sedang membuat pemerhatian serius terhadap perbuatan dengan tidak menghadiri solat Jumaat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");