Sukan Hari Ini

FAM ‘Sorok’ Pengadil Final Piala Malaysia

KUALA LUMPUR: Calon pengadil yang akan mengendalikan aksi final Piala Malaysia antara Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Shah Alam, Sabtu ini sedang menjalani proses pendedahan di satu tempat ‘rahsia’.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh menjelaskan, ia sebagai persediaan bagi memastikan keputusan terbaik dapat dilakukan pengadil sepanjang mengendalikan aksi berskala besar itu.

Subkhiddin berkata, kira-kira 10 pengadil yang terpilih itu akan membuat kajian secara menyeluruh mengenai kedua-dua pasukan, termasuk daripada aspek pemain serta jurulatih.

“Kita bawa pengadil ini di satu tempat untuk diberikan pendedahan, saya tidak boleh dedahkan tempat itu.

“Mereka akan membuat kajian terhadap karektor jurulatih, taktikal pasukan serta siapa pemain yang boleh memberi impak dalam perlawanan.

“Kita juga mengkaji perlawanan sebelum ini termasuk aksi liga terakhir Kedah dan JDT (Sabtu lalu). Mereka perlu masuk kelas dan kita sediakan tayangan klip video untuk kita lihat mana-mana bahagian yang boleh membantu bidang pengadil.

“Kita ambil kira pandangan semua pihak dan kita juga mempunyai tempoh kurang seminggu untuk mempersiapkan barisan pengadil ini termasuk membentuk keserasian antara mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam, menurut BH Online.

Sebelum ini, FAM menerima pelbagai kritikan berhubung mutu pengadilan dalam Liga Malaysia (Liga M) dengan insiden terbaru ketika aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia antara JDT dan Perak, 21 Oktober lalu yang menyaksikan pengadil membatalkan gol penyamaan Perak.

Selepas melakukan perbincangan mengenai insiden itu, Subkhiddin mengakui jaringan sendiri pertahanan JDT, S Kunanlan adalah sah sambil menjelaskan pengadil serta pembantu pengadil kedua pada perlawanan itu tersilap tafsir mengenai jaringan terbabit.

Selain itu, Subkhiddin turut menjelaskan enam pengadil yang akan mengendalikan aksi final itu nanti hanya akan diputuskan pada saat akhir.

“Kita tidak pasti berapa orang lagi (pengadil), tetapi untuk perlawanan final biasanya kita ambil enam termasuk pengadil dan pembantunya, tetapi kita belum putuskan lagi.

“Kita cuma bagi pendedahan kepada semua sekali, kira-kira 10 pengadil yang terpilih. Kemudian dalam masa terdekat, kita akan putuskan enam pengadil (perlawanan final) ini bagi mengelak daripada bookie dan sebagainya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");