Jenayah

Gajah Liar Cemaskan Penduduk Kampung

BALING: Lebih 900 penduduk Kampung Tanjung Pari, Mukim Siong berdepan detik cemas apabila sekumpulan gajah liar berkeliaran hingga merosakkan kebun dan dusun penduduk, sejak kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Pari, Taib Man, berkata penduduk tidak berani ke kebun untuk mencari rezeki kerana bimbang terserempak dengan gajah liar itu yang berkeliaran sepanjang malam.

Katanya, haiwan itu juga semakin berani menghampiri rumah penduduk dan merosak tanaman seperti pisang, anak getah, nangka, tebu dan kelapa.
“Rata-rata penduduk bergantung hidup dengan mencari rezeki sebagai petani. Akibat takut dengan gajah, mereka terputus punca pendapatan.
“Kami sudah memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) supaya dapat menghalau gajah liar berkenaan selain memasang pagar elektrik di kawasan yang menjadi laluan gajah,” katanya menerusi laporan BH Online semalam.
Seorang penduduk, Asri Yaacob,53, berkata gajah liar itu bergerak dalam satu kumpulan dengan menceroboh kebun penduduk dan memusnahkan banyak tanaman.
“Penduduk mengalami kerugian malah ada dikalangan petani tidak berani lagi ke kebun kerana bimbang perkara buruk,” katanya.
Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Kedah, Inche Ali@ Muhammad Ali Che Aman, berkata pihaknya akan mengambil tindakan segera sekiranya menerima laporan rasmi dengan memastikan keselamatan penduduk terjamin.

“Tindakan yang dilakukan akan dibuat menggunakan kaedah menghalau gajah terbabit bagi mengelakkan sebarang kerugian harta benda dan ancaman keselamatan penduduk,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");