Membawang Hari Ini

Hafiz, Joy Revfa Cerai Talak Satu

PETALING JAYA: “Ia episod yang sangat panjang. Saya bersyukur episod berbulan-bulan itu tamat hari ini.”

Kalimah itu diungkap penyanyi, Hafiz Hamidun, sebaik kes perceraiannya dengan Joy Revfa selesai di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari di sini, semalam.
Memetik laporan BH Online, Hafiz, 33, atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Hamidun, turut memaafkan Joy Revfa dan tidak menyimpan dendam terhadap usahawan kosmetik itu.
Terdahulu, Hafiz menceraikan Joy Revfa dengan talak satu pada jam 4.10 petang di hadapan Hakim Syarie Shukran Yusof selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan bekas anggota kumpulan nasyid UNIC itu pada 12 Oktober lalu.
Shukran berkata, talak satu yang dijatuhkan Hafiz adalah talak Ba-in Sughra disebabkan Joy Revfa atau nama sebenarnya Siti Arifah Mohd Amin, 30 tidak perlu menjalani edah kerana pasangan itu tidak pernah melakukan hubungan kelamin.

Mahkamah juga merekodkan kedua-dua pihak tidak membuat sebarang tuntutan termasuk nafkah tertunggak dan harta sepencarian.

Hafiz yang diwakili peguam Azmi Rais memfailkan permohonan itu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 selepas lima bulan menempuhi alam perkahwinan dengan Joy Revfa.
Berdasarkan notis permohonan itu, antara alasan perceraian yang dikemukakan adalah tiada lagi persefahaman antaranya dengan Joy Revfa dan tiada lagi kebahagiaan dalam rumah tangga mereka.
Hafiz mendakwa isterinya sentiasa mengaibkan beliau di laman sosial, enggan menerima nasihat diberi dan ingkar dengan suruhan Hafiz sebagai suami, termasuk menjatuhkan imej dan reputasinya.
Mereka mendirikan rumah tangga pada 1 Mei 2017.
Joy Revfa pernah berkahwin dengan Datuk Mohd Rayus Abdul Rahim dan mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun.
Sementara itu, Hafiz ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, mengakui tenang selepas pergolakan rumah tangga mereka berakhir.
“Walaupun kami tidak mahu pengakhiran sebegini, saya pasti ada hikmah di sebaliknya.
“Saya pelajari sesuatu dalam kes ini dan boleh dijadikan iktibar untuk saya dan orang lain,” katanya.
Joy Revfa pula menyifatkan penyelesaian itu sebagai jalan terbaik untuknya dan Hafiz.
“Semuanya dah selesai. Saya nak teruskan kehidupan saya dengan anak dan perniagaan saya,” katanya.
Joy Revfa hadir ke mahkamah ditemani ibunya dan peguam syarie Aznor Suhaida Dolah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");