Berita Hari Ini

Harap Lebih Banyak Syarikat Malaysia Diberi Peluang Perkasakan Ekonomi Qatar – Agong

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V bertitah bahawa baginda berharap lebih banyak syarikat Malaysia diberi peluang dalam memperkasakan sinergi ekonomi Qatar.

Seri Paduka bertitah demikian berikutan kejayaan sebuah syarikat Malaysia menyiapkan projek pembinaan bangunan baharu Kementerian Dalam Negeri Qatar yang juga merupakan pejabat Perdana Menteri Qatar.

“Beta juga ingin menzahirkan penghargaan di atas keyakinan dan peluang yang diperkenankan oleh Yang Mulia Emir (Qatar) kepada syarikat-syarikat negara beta dalam pelbagai projek di Qatar seperti dalam sektor perkhidmatan dan pembinaan.

“Beta menganggap ini sebagai satu pengiktirafan kepada semua syarikat Malaysia di Qatar,” titah Seri Paduka, seperti dilaporkan Bernama.

Sultan Muhammad V bertitah demikian pada Majlis Santapan Negara di Istana Negara malam ini, bagi meraikan Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al Thani yang kini melakukan lawatan dua hari ke negara ini.

Majlis yang berlangsung di Dewan Santapan istana itu turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed selaku menteri pengiring.

Turut hadir, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif.

Sultan Muhammad V seterusnya bertitah, lawatan bersejarah Emir Qatar itu akan membuka ‘gerbang kerjasama’ dalam aspek ekonomi dan perdagangan yang berpaksikan nilai kepercayaan dan saling menghormati antara kedua-dua negara.

“Hal sedemikian telah meyakinkan beta bahawa keabsahan hubungan antara Malaysia dan Qatar akan merealisasikan percambahan potensi bagi manfaat seluruh rakyat,” titah Seri Paduka.

Qatar merupakan rakan dagang ke-40 terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan mencecah RM2.37 bilion (US$566 juta) pada 2016.

Sheikh Tamim yang mengadakan lawatan negara atas undangan Sultan Muhammad V, tiba di Malaysia malam semalam bagi melakukan lawatan selama dua hari, dan berakhir hari ini.

Ini adalah lawatan negara pertama baginda ke Malaysia sejak menaiki takhta pada 25 Jun 2013, dan lawatan negara terakhir yang dilakukan oleh ayahandanya Sheikh Hamad Khalifa Al Thani adalah pada Mei 2009.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");