Jenayah

Hooligan Sukan Diharam Masuk Stadium Seumur Hidup

IPOH – Penonton yang dikenali sebagai hooligan sukan perlu diberi kesedaran bahawa tindakan mereka itu hanya memberi imej tidak baik kepada pasukan bola sepak dan negeri Perak.

Presiden Majlis Belia Negeri Perak, Aswannudin Hariffudin berkata, tindakan keras perlu dikenakan sebagai pengajaran supaya mereka tidak mempengaruhi orang lain.

“Kelab penyokong bola sepak juga memainkan peranan dan tanggungjawab serta perhatian serius mengawal penyokong khususnya ahli-ahli mereka.

“Penyokong perlu diterapkan dengan semangat kesukanan tinggi. Kalah menang adat pertandingan dan tidak sepatutnya terlalu beremosi dalam sesuatu perkara,”katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, sikap tidak puas hati berkaitan mutu pengadilan bola sepak dipercayai menjadi punca hooligan sukan ini bertindak luar batasan dan kawalan emosi.

“Sudah tiba masanya kualiti peralatan pengadilan yang lebih canggih digunakan dalam sesuatu pertandingan mengikut spesifikasi agar mutu pengadilan tidak dipertikaikan lagi.

“Pengadil yang kita ada adalah terlatih dan terbaik cuma keputusan mereka sering kali dipertikai kerana tiada alat yang boleh menyokong atau membuktikan keputusan yang mereka ambil itu tepat pada masa dan keadaannya,” katanya.

Aswannudin berkata, insiden kekecohan bukanlah sesuatu yang baharu namun Persatuan Bolasepak perak (Pafa) telah mengambil pelbagai langkah dalam usaha mengekang kejadian yang tidak diingini termasuk menempatkan anggota keselamatan yang mencukupi jumlahnya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sepatutnya.

“Bagi mengelakkan insiden ini berulang lagi, hooligan sukan yang didapati bersalah akan diharamkan masuk ke mana-mana stadium sewaktu perlawanan bola sepak seumur hidup.

“Tindakan ini dipercayai mampu menggerunkan individu yang teringin melakukan sebarang kekecohan,”katanya.

Terdahulu, perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak dan Johor Darul Ta’zim (JDT) berakhir dengan kekecohan apabila ada pihak mencetuskan provokasi di luar Stadium Perak selepas tamat perlawanan.

Seramai tujuh orang penyokong telah ditahan selepas perlawanan tersebut yang berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Kesemua penyokong berkenaan kemudiannya telah didakwa dan dijatuhkan hukuman denda RM500 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, Selasa lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");