Jenayah

Ibu Tunggal, Dua Anak Antara Ditahan AADK

KANGAR – Seorang ibu tunggal bersama dua anak lelakinya antara individu yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perlis, kerana didapati positif dadah, dalam Operasi Aduan di sekitar Beseri dekat sini, awal pagi tadi.

Pengarah AADK Perlis, Azizah Ahmad berkata dalam operasi bermula 8 pagi Isnin hingga 2.30 pagi tadi, pihaknya menahan wanita berusia 40 tahun itu serta dua anak lelakinya berusia 18 dan 19 tahun di sebuah rumah di Kampung Sungai Mati, Mata Ayer dekat sini, setelah didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Beliau berkata turut ditahan bersama mereka ialah seorang lagi ibu tunggal berusia 22 tahun yang membawa seorang anak lelaki berusia tiga tahun bersamanya ketika melakukan kegiatan tidak bermoral itu.

“Siasatan awal mendapati wanita berusia 40 tahun itu menagih dadah sejak 10 tahun lalu, selepas berpisah dengan suaminya, manakala wanita berusia 22 tahun itu mula menagih dadah sejak berusia 13 tahun, pernah ditangkap dan dihantar ke Asrama Akhlak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata empat lagi lelaki berusia 21 hingga 30 tahun ditahan di lokasi berasingan sekitar Beseri dan Kampung Belukar Lenga dekat sini, juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Menurut beliau semua yang ditahan dibawa ke pejabat AADK Perlis untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Bagi orang ramai yang mempunyai maklumat dan ingin menyalurkan aduan mengenai gejala penyalahgunaan dadah, boleh terus ke pejabat AADK Perlis atau menghubungi talian 04-9764603 atau 04-9770268, katanya lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");