Membawang Hari Ini

Idayu Perlu Cari Individu Tepat Bantu Karier

JURI tetap dalam AF Megastar, Datuk Ramli MS menggesa juara pertandingan itu, Idayu agar mencari individu yang tepat bagi membawa karier nyanyiannya ke tahap lebih tinggi.

Jelas Ramli, Idayu perlu lebih agresif dalam menentukan hala tuju kariernya dengan bantuan profesional kerana tanpa perkara itu namanya mungkin malap dalam sedikit masa lagi.

“Ini bukan lagi tentang Idayu juara AF Megastar kerana orang akan lupa mengenainya dalam dua tiga hari lagi.

“Idayu perlu bekerjasama dengan orang berpengalaman untuk menjaga karier muziknya dan buat pelaburan untuk tampil dengan pakej lengkap sebagai seorang artis.

“Saya percaya dia boleh lakukannya asalkan dia lebih agresif bagi menggerakkan kerjayanya dengan bantuan orang berpengalaman dan bukannya lakukan tanpa haluan,” katanya lapor Mstar Online.

Pada pertandingan itu, Idayu atau Nur Farah Idayu Yaakob, 32, membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi.

Idayu turut menerima hadiah pakej percutian 10 hari tujuh malam ke Turki untuk dua orang dan hadiah sampingan lain.

Selain Selamanya ciptaan Amylea, Idayu turut menyanyikan lagu My All nyanyian asal Mariah Carey.

Tambah Ramli lagi, Idayu perlu mempunyai lagu baharu dan tidak menangguhkan perkara itu sekiranya ingin terus menggerakkan kariernya.

Dalam pada itu, Idayu berkata, sejak menyertai AF Megastar ada beberapa syarikat rakaman dan pengurusan memberikan tawaran untuk mengikatnya sebagai artis mereka namun dia masih belum membuat keputusan.

Kata Idayu, dia ingin memberi fokus kepada pertandingan terlebih dahulu selain ingin berbincang dengan suaminya, Shahrul Fadzil.

“Alhamdulillah, sejak sertai AF Megastar memang ada beberapa pihak tanya sama ada saya berminat untuk menjadi artis mereka tetapi perkara ini saya perlu memberi pertimbangan secara teliti.

“Insya-Allah dalam masa terdekat ini saya akan buat keputusan selain merancang langkah karier saya yang seterusnya,” ujarnya.

Sementara itu, Idayu berkata, selepas 12 tahun menyertai Akademi Fantasia 3, dia merasakan penantian itu berbaloi dan tidak akan mensia-siakan peluang diraihnya kini.

“Saya ada banyak impian iaitu buat album, mengadakan persembahan televisyen, di acara anugerah kerana sebelum ini tidak pernah mendapat peluang itu.

“Sebelum ini bukannya saya tidak mahu aktif tetapi tidak diberikan peluang membuatkan nama saya seakan-akan lenyap,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Idayu berkata dia akan merakamkan sebuah lagu baharu ciptaan suaminya sendiri tidak lama lagi.

Katanya, dia sepatutnya menyanyikan lagu itu pada pertandingan akhir AF Megastar namun Shahrul tidak sempat menyiapkan lagu itu kerana kekangan masa.

“Kalau diikutkan memang hendak menyanyikan lagu ciptaan suami sendiri tetapi memandangkan ia tak sempat disiapkan maka saya gunakan khidmat Amylea.

“Amylea pula menggubah sebuah lagu yang kena dengan citarasa saya dan memang ia dihasilkan sesuai dengan kisah sepanjang 12 tahun cuba berada di mana saya sekarang.

“Memang saya sangat berterima kasih kepada Amylea kerana bertungkus lumus menghasilkan lagu Selamanya untuk saya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");