Sukan Hari Ini

Insiden Mercun: FMLLP Akan Teliti Laporan

PETALING JAYA: Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) akan meneliti laporan insiden kekecohan di perkarangan Stadium Perak selepas berakhirnya perlawanan separuh akhir Piala Malaysia antara Perak menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), malam Ahad.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung insiden tersebut dan akan mendapat gambaran lebih jelas sebelum tindakan sewajarnya diambil.

“Kita sudah dapat maklum awal dan laporan mengenai insiden itu. Selepas membuat penilaian dan maklum balas daripada kedua-dua pihak baharulah kita akan ambil tindakan susulan,” katanya lapor mStar Online.

Kevin bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai tindakan susulan yang akan dikenakan terhadap pasukan Perak di atas tindakan provokasi yang dicetuskan penyokong The Bos Gaurus itu.

“Saya rasa lebih elok kita teliti laporan dari semua pihak sebelum keluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

“Harus diingat masih ada perlawanan separuh akhir kedua yang perlu diharungi kedua-dua pasukan,” katanya.

Jelas Kevin, laporan tersebut turut akan diserahkan kepada lembaga disiplin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tindakan susulan.

Sementara itu, beliau turut memuji tindakan pantas pihak berkuasa bagi memastikan insiden lebih buruk daripada berlaku malam Ahad.

“Kami juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan aksi separuh akhir dan final berjalan dengan lancar,” katanya.

Suasana di luar Stadium Perak bertukar kecoh apabila berlaku provokasi antara penyokong selepas tamat perlawanan antara Perak dan JDT pada kira-kira pukul 11 malam Ahad.

Dalam insiden itu, dua lelaki termasuk seorang anggota polis cedera akibat terkena letupan mercun.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong turut mengesahkan pihaknya telah menahan seorang lelaki yang dipercayai meletupkan mercun.

“Kita juga ada melakukan beberapa tangkapan lain namun, siasatan lanjut masih dijalankan. Butir-butir lengkap akan diperoleh daripada pegawai-pegawai bertugas.

“Bagaimanapun, kekecohan itu berjaya dikawal kira-kira pukul 12 tengah malam ,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");