Perak Hari Ini

‘Islam Buat Saya Tenang, Sabar Berbanding Dahulu’

PANGKOR: Menonton umat Islam melakukan ibadah Haji di Kota Suci Mekah di televisyen telah mengetuk pintu hati Chai Yan Swannachot atau kini, Muhammad Ashraff Abdullah untuk menerima sinar hidayah Islam pada tahun 1999.

Ashraff, 66, berkata ianya bermula apabila dia menerima tawaran untuk bekerja sebagai chef di sebuah syarikat kontraktor di Arab Saudi.

“Pada ketika itu, ianya sudah memasuki musim orang Islam mengerjakan Haji dan ianya disiarkan melalui televisyen tempatan.

“Saya tidak tahu bagaimana tetapi saya dapat merasakan suatu perasaan ketenangan apabila melihat orang Islam dari segenap pelusuk dunia melakukan ibadah tersebut,” katanya yang berasal dari Bangkok, Thailand.

Ashraff yang telah menetap di Malaysia lebih dari 30 tahun itu telah berumah tangga dengan Eysah Zakaria, 57, warga tempatan, pada sekitar tahun 1999.

Mereka dikurniakan dua cahaya mata dan masing-masing berumur 17 dan 15 tahun.

Dia yang bekerja sebagai tukang masak dekat sebuah gerai makanan miliknya berkata bulan Ramadan merupakan saat yang ditunggu-tunggu.

“Saya akan pastikan saya dapat melakukan solat tarawih 20 rakaat, tanpa gagal,” ujarnya.

Tambahnya, sinar Islam telah menjadikan dia lebih baik daripada sebelumnya.

“Jika dahulu, saya merupakan seorang pemarah namun, kedatangan Islam kepada saya telah mengajar apa itu erti sabar khususnya apabila musibah datang melanda hidup saya.

“Saya juga percaya rezeki itu milik Allah dan solat itu punca untuk mendapat rezeki daripadaNya,” katanya yang kini telah menetap di Pangkor.

Ashraff merupakan antara 31 keluarga yang terlibat dalam program Ziarah Mahabbah Saudara Kita anjuran Badan Dakwah Pejabat Agama Islam Daerah Manjung dan mendapat kerjasama Majlis Agama Islam Perak (MAIPk).

Melalui program tersebut, Ashraff telah memohon dana bantuan untuk membeli sebuah mesin ais krim, untuk merancakkan lagi perniagaannya.

Program yang telah berlangsung sejak Selasa ini bertujuan mendekati golongan mualaf bagi melawat dan menghulurkan sumbangan kepada mereka.

Selain itu, ia juga menjadi platform untuk mereka menyuarakan masalah-masalah yang dihadapi kepada pihak Jabatan Agama Islam Daerah, bagi tindakan lanjut.

Pada masa sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria yang ditemui berkata, program ini melibatkan kawasan Pangkor, Pengkalan Baru, Pantai Remis dan Pasir Panjang.

“Program ini dilakukan secara kerap dan berkala cuma pada kali ini kita mengambil kesempatan bersempena dengan program pemukiman menteri besar.

“Maklum balas yang diterima sangat memberangsangkan di mana kita dapat bertanya khabar selain beramah mesra dengan saudara-saudara kita ini,” katanya kepada media ketika ditemui di program ini, dekat sini pada Khamis.

Beliau juga berkata masyarakat seharusnya memberikan semangat dan sokongan kepada golongan mualaf dalam menjalani kehidupan seharian.

“Saya juga meminta agar golongan mualaf ini dapat mendaftar dengan kita agar memudahkan urusan seperti penyerahan bantuan dan dapat mengelakkan sebarang isu berbangkit pada masa hadapan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");