Berita Hari Ini

Izham Miliki Pengalaman Luas: Idris Jala

KUALA LUMPUR – Pelantikan Kapten Izham Ismail sebagai Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Malaysia Airlines Bhd adalah tepat sejajar dengan pengalaman luas dimilikinya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pemandu Associates Sdn Bhd, Datuk Seri Idris Jala juga menyifatkan Izham yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang penerbangan, juga mahir dengan industri itu serta dihormati oleh ramai juruterbang dan rakan-rakannya.

“Kapten Izham adalah lelaki yang baik. Sewaktu saya menjadi CEO Malaysia Airlines, beliau menerajui inisiatif untuk mengurangkan penggunaan bahan api.

“Beliau adalah individu yang bertenaga, didorong oleh (kerja-kerja berasaskan) data serta sentiasa bersedia untuk mengambil tindakan seterusnya.

“Saya sendiri amat mengaguminya. Kita berharap beliau dapat mencatat kejayaan di situ (Malaysia Airlines),” katanya kepada pemberita di luar Forum Ekonomi Belia 2017, di sini hari ini.

Ditanya sama ada Izham dapat membantu dalam usaha pemulihan Malaysia Airlines selepas mengambil alih tugas daripada Peter Bellew, Idris berkata : “Anda perlu tunggu dan lihat.

“Malah, keputusan pihak Lembaga Pengarah memilih serta menamakan beliau sebagai CEO juga menunjukkan bahawa mereka yakin dengan tindakan itu.

“Lebih-lebih lagi beliau adalah COO (Ketua Pegawai Operasi) iaitu orang nombor dua (dalam Malaysia Airlines) selepas Peter Bellew.

“Oleh itu, berdasarkan pengumuman itu sudah jelas bahawa mereka mempersiapkan beliau untuk menjadi CEO.”

Idris juga menyifatkan dakwaan kononnya kerajaan dan Khazanah Nasional Bhd campur tangan dalam Malaysia Airlines juga bukan lagi satu isu selepas Khazanah bertindak mengeluarkan kenyataan manakala Bellew juga sudah menjelaskan perkara sama lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");