Sukan Hari Ini

‘Jika Saya Jadi Punca, Esok Boleh Letak Jawatan’

KETUA jurulatih bola sepak negara, Nelo Vingada sedia meletak jawatan seandainya prestasi hambar ditampilkan skuad kebangsaan berpunca daripadanya.

Mengakui bakal berdepan kritikan daripada pelbagai pihak berikutan masalah tersebut, Vingada berkata beliau tidak akan berputus ada untuk meningkatkan prestasi dan imej skuad kebangsaan.

Beliau, bagaimanapun percaya pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) lebih mengetahui keupayaannya dalam membuat pertimbangan terhadap tugasnya selaku jurulatih.

“Sekiranya saya menjadi penyebab kepada masalah dalam bola sepak Malaysia, esok juga saya boleh pergi (letak jawatan). Kejurulatihan adalah karier saya…saya sudah berada di beberapa negara dan tidak pernah berputus asa (untuk membawa kejayaan kepada pasukan yang dibimbing).

“Masalah dihadapi (skuad negara) bukan masalah baharu, kita sudah berdepannya sejak dua, tiga tahun lepas, namun saya tidak mahu membincangkan perkara yang lepas,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, pada Rabu lapor Bernama.

Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh menerusi laporan media tempatan hari ini, meminta Vingada meletak jawatan susulan prestasi buruk skuad kendaliannya.

Dalam lima perlawanan kendalian jurulatih kelahiran Portugal itu sejak dilantik pada Mac lalu, skuad kebangsaan terus kemarau kemenangan dan terbaru kekalahan 0-2 kepada Hong Kong dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019, semalam.

Sebelum itu, Vingada yang mengambil alih tugas Datuk Ong Kim Swee, turut menyaksikan anak buahnya kalah 1-2 kepada Lubnan dan seri 1-1 berdepan Hong Kong pada aksi kelayakan Kumpulan B, selain kalah 1-2 menentang Syria dan 0-1 kepada Myanmar dalam aksi persahabatan antarabangsa.

Vingada diberi tugas membawa Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia 2019, namun dengan satu mata, skuad negara berada di kedudukan tercorot dalam kumpulan berkenaan.

Peluang dilihat lebih sukar berdepan Lubnan di tempat lawan, serta dua perlawanan menentang Korea Utara selepas ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");