Jenayah

Jual Batu Tepi Jalan

KUALA LUMPUR: Begitu mudahnya menipu apabila batu kerikil dikutip di tepi jalan mampu dijual pada harga puluhan ribu ringgit selepas didakwa ia sebagai batu landak yang memiliki seribu satu kelebihan dan kuasa penyembuhan.

Akibatnya ramai mangsa yang taasub terhadap khasiat batu landak mudah diperbodoh-bodohkan sindiket yang dikesan bergiat aktif mencari pelanggan di laman sosial.

Menurut laporan Harian Metro, ini antara taktik buat duit digunakan segelintir kaki kelentong yang mengaut keuntungan mudah selepas mendakwa batu landak mampu menyembuhkan pelbagai penyakit kronik termasuk kanser dan leukemia.

Salah seorang mangsa yang diperdaya sindiket penjual batu landak mendakwa kerugian lebih RM20,000 selepas diumpan melalui laman sosial Facebook (FB), Ogos lalu.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Natrah, 40, berkata, seorang lelaki tidak dikenali mempromosikan jualan batu landak melalui FB dengan mendakwa batu itu menjadi buruan pengamal perubatan tradisional kerana khasiatnya yang luar biasa.

“Lelaki itu mendakwa batu landak yang turut dikenali sebagai geliga landak terhasil di dalam perut mamalia itu yang hidup liar di hutan.

“Dia mendakwa landak mempunyai kebolehan untuk sembuh segera daripada sebarang penyakit berikutan keupayaannya mencari akar atau tumbuhan berkhasiat.

“Ini menyebabkan landak dikatakan mempunyai antibodi yang kuat berbanding haiwan mamalia lain,” katanya.

Selain itu, lelaki terbabit mendakwa kesan detoksifikasi melalui herba dicernakan itu akan meneutralkan toksin dan racun dalam tubuh landak menyebabkan haiwan ini cepat sembuh dari penyakit.

“Tindakan haiwan ini memakan pelbagai tumbuhan herba dalam tempoh waktu lama didakwa akan membentuk geliga batu di dalam tubuhnya.

“Bagaimanapun, bukan semua landak mampu menghasilkan batu di dalam perut sekali gus menyebabkan harganya melambung tinggi dan menjadi buruan ramai pihak,” katanya.

Susulan itu, katanya, wujud kepercayaan batu itu mampu dijadikan ubat alternatif menyembuhkan penyakit kanser, meningitis, pneumonia, dan leukemia.

“Malah ada juga testimoni tersebar mendakwa meminum air rendaman batu landak boleh menyembuhkan penyakit ketumbuhan otak, kanser payudara, hati, gangguan sistem saraf dan metabolisme serta pelbagai penyakit lain.

“Akibat percaya dengan semua dakwaan ini, saya sudah membayar lebih RM10,000 kepada lelaki itu. Namun batu geliga seberat 200 gram yang dihantar kepada saya melalui penghantaran pos hanyalah batu biasa berbentuk bulat,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Omar, 50, berasal dari Batu Gajah, Perak berkata, dia kerugian RM2,000 selepas ditawarkan batu landak yang didakwa dibawa masuk dari Indonesia.

Menurutnya, dia diyakini seorang pengamal perubatan tradisional kononnya batu landak mampu menjadi tubuh manusia kebal daripada pelbagai penyakit berbahaya.

“Batu landak ini didakwa memilik tekstur, warna, bentuk dan kualiti berbeza. Ini sebabnya mengapa batu landak dianggap begitu berharga.

“Biasanya batu ini hanya seberat antara 70 gram hingga 300 gram dan dijual mengikut gred tertentu. Peniaga akan menjual batu ini pada harga sekitar RM300 hingga RM500 bagi setiap gram,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");