Jenayah

Kanak-Kanak Disyaki Didera Ibu Kandung, Bapa Tiri

IPOH – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dari Lapangan Perdana di sini, disyaki didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya berikutan penemuan kesan cedera dan calar pada badan kanak-kanak itu oleh Perak Community Specialist Hospital di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya menerima laporan daripada hospital berkenaan pada 1.21 pagi Jumaat lalu.

“Seorang wanita berusia 24 tahun datang ke hospital bersama tiga anaknya iaitu mangsa, kakaknya yang berusia empat tahun dan adik lelaki berusia empat bulan, kerana disyaki dijangkiti Influenza A.

“Kesemua mereka kecuali mangsa disyaki dijangkiti wabak itu, namun mangsa turut ditahan di wad bersama-sama ibu, kakak dan adiknya,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di Balai Polis Pasir di sini hari ini.

Katanya kecederaan pada mangsa dikesan oleh doktor yang melakukan pemeriksaan terhadap kanak-kanak itu.

“Kecederaan dialami mangsa tidak serius cuma ada kesan calar-balar. Keluarga berkenaan termasuk mangsa telah dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun,” katanya lapor Bernama.

Beliau berkata, hasil soal siasat awal, ibu mangsa mengakui dia dan suami yang berumur 20 tahun memukul mangsa menggunakan tangan serta penyidai baju bagi mendisiplinkan kanak-kanak yang didakwanya terlalu aktif.

Bagaimanapun kata Sum, polis belum dapat merakamkan keterangan ibu dan mangsa kerana keadaan kedua-dua mereka belum mengizinkan.

“Akan tetapi pihak kami difahamkan bapa tiri mangsa yang bekerja di Pulau Pinang akan diambil keterangan hari ini,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");