Isu Panas

Kecoh PAS, PAN Berebut Wisma Tok Guru Di Salor

KOTA BHARU: Pertembungan di antara PAS dan serpihannya, Parti Amanah Negara (PAN) di negeri ini semakin panas dan tegang, apabila penyokong kedua-dua parti itu berebut untuk menguasai Wisma Tok Guru dekat Kampung Pendek, Salor di sini, malam tadi.

Kira-kira 9 malam, 150 penyokong PAS berhimpun sambil memasang bendera di sekitar bangunan terbabit sebelum disusuli ucapan oleh Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadzli Shaari, pada jam 9 malam tadi.

Sebaik saja ucapan itu selesai, ketegangan berlaku apabila seorang penyokong PAS tidak mengizinkan Ketua Pemuda PAN negeri, Hazmi Hassan, yang dikatakan mahu menggunakan pembesar suara bagi menyuraikan penyokong parti berkenaan.

Berikutan daripada tindakan itu, pertengkaran tercetus di antara penyokong kedua-dua parti itu sehingga mereka terpaksa ditenangkan oleh pasukan anggota polis yang turut berada di lokasi kejadian.

Sebelum bersurai, Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi, yang turut hadir membaca doa penutup perhimpunan penyokong parti itu.

Ahmad Fadzli dalam menyampaikan ucapannya, berkata tindakan mereka memasang bendera PAS di situ adalah sebagai permulaan dan petanda awal bahawa tanah serta bangunan terbabit adalah hak milik parti terbabit.

“PAS sudah memberikan notis sebulan kepada pihak yang menduduki bangunan ini untuk mengosongkannya selewat-lewatnya pada 14 November depan.

“Kita sekadar meletakkan bendera di bahagian luar saja sebagai penghargaan kepada penyokong yang menyumbang untuk kita mencipta sejarah melihat bangunan ini kembali menjadi milik PAS,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan PAN mungkin terpaksa mencari bangunan baharu untuk menempatkan pejabat mereka selepas menerima notis mengosongkan wisma berkenaan.

Selain menempatkan pejabat PAN Kelantan, bangunan itu turut menjadi pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa Husam, bekas Naib Presiden PAS yang sebelum ini dilaporkan bertegas untuk mempertahan pemilikan bersamanya terhadap tapak bangunan itu.

Husam dilaporkan mahu memfailkan kes terbabit di mahkamah dan meminta penyokongnya terus menggunakan bangunan itu sehingga perintah dikeluarkan mahkamah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");