Berita Hari Ini

Kementerian Pengangkutan bakal wujudkan ELV

BENTONG: Kementerian Pengangkutan bercadang akan mewujudkan dasar yang menetapkan jangka hayat kenderaan dalam usaha mengurangkan kemalangan dan kesesakan jalan raya di negara ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pada peringkat awal, dasar Tamat Hayat Kenderaan (ELV) itu akan memberikan tumpuan awal kepada kenderaan-kenderaan awam khususnya bas dan lori.

Menurutnya melalui pelaksanaan dasar itu, ia akan melibatkan kerjasama dengan Kementerian Alam Sekitar yang akan melibatkan kitar semula kenderaan yang telah tamat tempoh hayat.

“Kita masih belum melaksanakan dasar ini walaupun banyak negara telah melaksanakannya dan saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian saya untuk melakukan kajian terperinci.

“Kita juga akan mendapatkan maklum balas daripada masyarakat dan pengguna jalan raya sebelum dilaksanakan,”katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Konvensyen Pasukan Bomba Sukarela Zon Timur 2017 di Sekolah Kebangsaan Janda Baik di sini, semalam, menurut laporan Sinar Online.

Turut hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Wan Mohd. Noor Ibrahim dan Pengarah JBPM Pahang, Datuk Abdul Wahab Md. Yassin.

Dalam pada itu, Tiong Lai berkata pihaknya juga bercadang memberikan insentif kepada mana-mana individu yang secara sukarela melupuskan kenderaan mereka yang sudah tamat jangka hayat.

“Kajian sedang dibuat dan setakat ini banyak Pihak Berkuasa Tempatan minta dasar ini dilaksanakan dan saya berharap kajian akan dapat disiapkan dalam waktu terdekat,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kemalangan melibatkan dua buah bas kilang di Kilometer 147 Lebuh Raya Utara Selatan Selasa lalu, beliau berkata, berdasarkan siasatan awal kedua-dua bas berkenaan telah melepasi pemeriksaan Puspakom Sdn Bhd (Puspakom).

“Berdasarkan siasatan bas yang berhenti di tepi jalan telah berusia 32 tahun dan bas yang melanggar pula berusia lebih daripada 10 tahun,”katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");