ALOR SETAR: Hujan lebat berterusan selama beberapa jam sejak awal pagi tadi mengakibatkan beberapa sekolah di daerah ini dan Kubang Pasu dinaiki air.

Banjir juga mengakibatkan pembelajaran di Sekolah Kebangsaan Bukit Pinang di sini terpaksa dihentikan kira-kira pukul 11 pagi tadi apabila kawasannya mula dinaiki air sehingga satu meter.

Menurut jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, anggotanya digerakkan ke sekolah berkenaan pada pukul 10.30 pagi bagi membantu pelajar sekolah keluar dari sekolah itu.

“Anggota APM memindahkan pelajar sekolah ke kawasan lebih tinggi sebelum diambil oleh ibu bapa mereka pulang,” katanya, menurut laporan Utusan Online.

Beberapa sekolah lain termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Bahiyah, SMK Jitra dan SK Hutan Kampung turut dinaiki air.

Selain itu banjir turut menenggelamkan beberapa jalan utama di daerah berkenaan termasuk Jalan Putra, Jalan Sultanah Bahiyah dan Jalan Langgar di sini.Sementara itu menerusi maklumat di media sosial, antara kawasan terlibat banjir seperti Alor Setar, Anak Bukit, Jitra, Kubang Pasu, Kepala Batas, Bukit Pinang dan Padang Serai.

Kawasan yang ditenggelami air di Alor Setar seperti Kompleks Shahab Perdana, Taman Uda, Hospital Sultanah Bahiyah dan Sekolah Sultanah Bahiyah.

Sementara di Anak Bukit pula adalah Pusat Latihan Polis, Taman Aman dan Kampung Alor Senjaya.

Di Jitra pula kawasan yang terlibat adalah Bandar Darulaman, Taman Darulaman, Taman Setia Jaya, Sekolah Kebangsaan Jitra 3, Sekolah Menengah Jitra, Taman Mahkota, Taman Mahsuri, Taman Tunku Sarina, Taman Kepala Batas dan Sekolah Tunku Anum Tok Jalai.

Dalam pada itu, paras air di Sungai Baru Kepala Batas meningkat pada paras bahaya sementara Sungai Kedah pula dalam keadaan berjaga-jaga.

Orang ramai tinggal di kawasan-kawasan yang berisiko ditenggelami air dinasihatkan supaya berjaga-jaga dan peka dengan arahan pihak berkuasa sekiranya banjir bertambah buruk.