MARAN: Masyarakat India di negara ini disaran supaya terus memberikan sokongan kepada usaha kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memartabatkan serta membela nasib mereka di negara ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Mutallib berkata, kerajaan menjamin keamanan serta memberikan kebaikan kepada rakyat di negara ini, tanpa mengira latar belakang kaum.
Menurutnya, justeru wajar kesetiaan tidak berbelah bahagi dikekalkan dan tiada yang menjadi gunting dalam lipatan hingga membinasakan perpaduan sesuatu kaum itu.
“Masyarakat India perlu prihatin dan merebut peluang dalam bidang keusahawanan ditawarkan kerajaan kerana ia mampu memberikan pendapatan tambahan kepada mereka.
“Kerajaan banyak memberikan inisiatif dan sokongan terhadap kaum India yang menceburi bidang keusahawanan, dan ramai juga kaum ini menyertai bidang tersebut terutamanya dalam bidang IKS, tetapi ia masih belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan.
“Secara keseluruhannya peruntukan Bajet 2017 terhadap kaum India dalam pelbagai bidang termasuk latihan dan kemahiran diluluskan dalam jumlah yang banyak,” katanya, lapor Sinar Online.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan berupa hamper kepada warga emas, ibu tunggal, OKU masyarakat India kawasan Parlimen Maran sempenana Hari Deepavali di Kampung Awah.
Beliau berkata, peruntukan diberikan membuktikan bahawa kerajaan memberikan tumpuan kepada kaum India, justeu peluang itu perlu direbut untuk mampu berdaya saing.
Menurutnya, jutaan ringgit peruntukan Tekun yang disediakan oleh kerajaan kepada kaum India supaya dapat berniaga dan bersaing dengan kaum lain.
Sementara itu Ismail berkata, beliau mahu masyarakat India menjadikan perayaan Deepavali sebagai landasan untuk mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
“Hubungan melalui kunjung mengunjung pada setiap perayaan kaum itu bukan sahaja boleh membentuk sebuah kesatuan dalam kalangan rakyat, malah dapat membanteras niat jahat kumpulan yang hendak menghuru harakan negara,” katanya.