BATU GAJAH: Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) memohon agar Kerajaan Negeri membantu usaha bagi mewartakan kawasan perumahan di Bandar Seri Botani supaya berada di bawah pentadbiran Batu Gajah.
Ketua Ahli Majlis MDBG, Datuk Wira Mohd Yusoff Kasim berkata, usaha yang sudah sekian lama diperjuangkan ini juga selaras dengan inisiatif Kerajaan Negeri yang mahu majlis daerah ini dinaiktaraf kepada Majlis Perbandaran menjelang tahun 2020.
“(Kawasan perumahan) Botani ini berada dalam mukim Sungai Raia tetapi pentadbiranya di bawah (Majlis Daerah) Batu Gajah, seperti contoh dari segi pengurusan hal-hal Penjabat Tanah.
“Tetapi, untuk urusan seperti cukai pintu, ia pergi kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
“Jadi itu yang kita berusaha untuk menyelaraskan supaya persempadanan itu mengikut daerah ataupun daerah-daerah kecil,” katanya.
Tambahnya lagi, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) telah pun mengazetkan kawasan perumahan Botani itu dibawah daerah Batu Gajah sejak dua tahun lalu.
“Kita ini sudah banyak bertolak ansur dan apa salahnya juga, MBI mengambil langkah yang sama.
“Sebagai contoh, bangunan Pusat Kegiatan Masyarakat (Kemas) dan RTC Gopeng sepatutnya pergi ke kawasan Kinta, tetapi ia diberikan kepada Majlis Daerah Kampar.
“Boleh sahaja kami minta, tetapi tidak, malah kami tetap membantu (Majlis Daerah) Kampar,” katanya.
Ujarnya, Kerajaan Negeri harus membantu usaha ini kerana dengan adanya satu lagi perbandaran yang baharu ini, ia bakal menaikan lagi imej negeri Perak.

Selain itu, Mohd Yusoff juga berkata perkara ini sudah berada dalam peringkat perbincangan awal dan akan dibawa kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata demikian kepada media selepas selesai Majlis Angkat Sumpah Yang Dipertua yang baharu, di hadapan Pihak Berkuasa Tempatan di Bangunan Majlis Daerah Batu Gajah, dekat sini, pada Selasa.
Bekas Setiausaha Majlis Daerah Kerian (MDK), Mohd Razif Ramli, 36, dilantik sebagai Yang Dipertua MDBG yang baharu, mengantikan Nurdiana Puaadi.
Beliau yang telah berkhidmat di MDK selama tujuh tahun itu berkata tetap akan meneruskan usaha ini bersama-sama dengan Ahli Majlis yang lain.