Membawang Hari Ini

Mila Jirin Mahu Dunia Seni, Bisnes Seiring

MESKIPUN berjaya dalam perniagaan, Mila Jirin tidak berhasrat melupakan dunia seni.

Ini kerana, bekas juara Akademi Fantasia 5 ini menyifatkan darah seni yang mengalir adalah sebahagian daripada jiwanya.

“Bidang seni bagaikan satu passion. Ia kerinduan saya dan menjadi sebagai salah satu punca mata pencarian. Alhamdulillah, mungkin hari ini, rezeki saya lebih berpihak dalam perniagaan.

“Tapi, saya tetap nak buat apa yang saya suka,” katanya kepada Media Hiburan.

Mila dan suaminya, Ahmad Ailis Mohamed Mustapha @ Isz Mustapha menjalankan pelbagai cabang perniagaan seperti restoran, butik dalam talian, produk kecantikan dan kesihatan serta kemudahan katering dan perkahwinan. Pasangan sejoli ini juga sedang merancang mengembangkan perniagaan dalam bidang hartanah yang secara tidak langsung meletakkan selebriti berusia 30 tahun ini sebagai jutawan.

Bagaimanapun, Mila secara jujurnya mengakui tidak menggemari perkataan jutawan kerana bimbang ada pihak yang berniat tidak baik dan membahayakan kehidupannya serta keluarga.

“Tapi, saya cukup bersyukur dengan rezeki yang ALLAH SWT bagi,” katanya.

Pun begitu, anak jati Teluk Kumbar, Pulau Pinang ini tidak lokek berkongsi pengalaman yang hanya bermula dari ‘kosong’ malah hanya belajar daripada pengalaman kerana tidak berpelajaran tinggi.

“Sebab itu, saya mahu berkongsi pengalaman terutama dengan golongan belia melalui pelbagai program mentor-mentee yang dianjurkan,” katanya.

Tidak putus asa

Berbicara mengenai karier seninya, Mila akur dengan takdir ALLAH SWT.

Sebelum ini, bintang filem Kami Histeria ini meletakkan pertandingan realiti, AF Megastar sebagai peluang terbaik untuk kembali menggilap nama selepas dua tahun berehat.

Bagaimanapun, rezeki tidak berpihak kepadanya apabila tidak tersenarai antara 12 peserta yang layak meneruskan pertandingan tersebut.

Terus bersikap positif, pemilik nama penuh Norsyarmilla Jirin ini merancang mengeluarkan single terbaru bagi mengubati kerinduan peminatnya.

“Saya reda tapi perlu mencari ikhtiar. Mungkin saya tak boleh pergi jauh dalam bidang seni kerana masih belum dapat material yang betul-betul boleh menaikkan kembali nama saya.

“Jadi, saya tak boleh berputus asa dan teruskan mencari,” katanya.

Lantaran itu, Mila mengakui mendekati beberapa komposer demi mencari lagu yang bersesuaian dengannya.

“Saya tak kisah genre apa, tapi kalau boleh saya mahukan lagu balada. Liriknya pula biarlah lebih matang seiring dengan usia saya,” katanya.

Kali terakhir Mila menghasilkan single adalah Aku Bukan Isteri Sempurna ciptaan Eddie Hamid pada 2014.

Dalam perkembangan lain, Mila bakal terlibat dalam program Sayembara Nyanyian Patriotik Selangor 2017 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, pada 11 November depan.

Selain Mila, antara artis yang akan membuat persembahan pada pertandingan akhir itu adalah Aina Abdul dan Dylea.

Ia dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");