Berita Hari Ini

Mohamad Putera Kembali Ke Lokasi Dia Ditinggalkan Ketika Berusia 10 Hari

KUANTAN: “Saya sebak. Terlintas di fikiran apa yang ibu fikirkan dan perasaannya ketika meninggalkan saya yang baru berusia 10 hari di tempat itu bersendirian,” kata Mohamad Putera Zainuddin, 21, yang ditinggalkan di perhentian bas di Kampung Megat, Jalan Maran, dekat Tasik Paya Bungor, Kuantan pada 23 September 1996

Mohamad Putera yang kisahnya tular selepas memuat naik keratan akhbar di Instagramnya dia ditinggalkan di perhentian bas itu, buat pertama kali berkunjung ke lokasi berkenaan selepas 21 tahun, Ahad lalu.

Menerusi laporan Harian Metro, katanya, kunjungannya memberinya lebih banyak maklumat mengenai apa yang berlaku pada tarikh berkenaan.

“Saya bertemu pakcik Hamid, antara individu terawal yang menemui saya. Dia dalam perjalanan ke tempat kerja dan melihat ada kotak ditinggalkan di perhentian bas itu.

“Selepas mendekati kotak itu dia ternampak tangan saya terkapai-kapai menyebabkan dia memanggil peniaga kedai runcit di hadapan perhentian bas berkenaan untuk membantu,” katanya.

Menurutnya, peniaga berkenaan memaklumkan ada mendengar bunyi kereta berhenti berhampiran kedainya sebelum mengetahui ada bayi ditinggalkan di situ.

“Pada 5.30 pagi, peniaga itu dengar bunyi kereta dan mungkin itu ibu saya. Namun sehingga kini tiada petunjuk untuk saya mengetahui siapa sebenarnya ibu saya,” katanya yang memaklumkan dibantu Ketua Kampung Megat, Mohammad Jafri Maarof dalam usaha jejak kasihnya itu.

Mohammad Jafri juga antara yang terawal ke perhentian bas itu 21 tahun lalu selepas berita penemuan bayi di situ tersebar.

Menurut Mohamad Putera, dia akan terus berusaha mencari ibu bapa kandungnya.

“Pada Disember nanti, saya akan ke Bachok, Kelantan untuk jumpa jururawat yang pernah merawat saya di Klinik Gambang selepas ditemui

“Mana tahu usaha saya membuahkan hasil,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");