Berita Hari Ini

MRT Bawa Perubahan Masa Depan Negara

SUDAH menjadi lumrah, setiap pembaharuan yang dilaksanakan, tidak mudah diterima dalam sekelip mata, lebih-lebih lagi melibatkan sektor pengangkutan awam yang moden seperti MRT.

MRT disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai projek infra rakyat dirancang kerajaan bagi melengkapi capaian pengangkutan rel di kawasan-kawasan utama ibu kota dengan menghubungi semua jajaran rel sedia ada, sekali gus menjadikan pengangkutan awam di Kuala Lumpur fully integrated (bersepadu penuh).

Lebih membanggakan juga menurut Najib, kos pembinaan asal bagi laluan Sungai Buloh-Kajang disasarkan sebanyak RM23 bilion. Namun, kos sebenar hanya RM21 bilion, penjimatan sebanyak RM2 bilion.

Meskipun pelbagai media melaporkan, juga berita-berita di corong radio saling memuji kehebatan pengangkutan bertaraf dunia ini, namun tanggapan awal penulis, ianya tidak ubah seperti naik LRT, monorel dan lain-lain perkhidmatan, dalam erti kata lain pengangkutan awam ini lambat, kurang efektif dan kurang selesa.

Namun, benar kata pepatah, tak kenal maka tak cinta, sudah kenal, terus timbul rasa beruntungnya, lebih-lebih lagi mereka yang tinggal berdekatan stesen dan kawasan yang terdekat dengan jajaran ini.

Bayangkan  anda hanya mengambil masa 88 minit secara langsung dari Stesen Sungai Buloh ke Kajang. Jimat bukan? Tidak perlu fikir soal kos petrol, tol dan benda paling membosankan mengharungi lalu lintas.

Pada ucapan perasmiannya, Najib menyebut perjalanan Sungai Buloh ke Kajang, sekiranya menggunakan bas memakan masa lebih satu jam sehala, bayangkan berapa banyak masa terpaksa dihabiskan untuk perjalanan pergi balik, katanya.

Disebabkan keluhan-keluhan inilah perdana menteri berkata, penyelesaiannya adalah menggunakan MRT.

Berkongsi pengalaman sehari menggunakan MRT, ia selayaknya dibanggakan. Bermula dari tempat parkir yang luas, sehingga kepada perkara asas yang lain, penulis benar-benar kagum.

Guna kemudahan sebaik mungkin

Soal kebersihan, amat baik sekali. Ramai yang mengambil sikap bertanggungjawab, dengan membuang sampah di tempat sepatutnya. Begitu juga soal kebersihan di tandas, surau juga luas dan telekung untuk wanita disusun rapi. Diharapkan budaya ini kekal sampai bila-bila.

Suasana di dalam tren masing-masing saling hormat-menghormati. Peringatan sentiasa dibuat untuk memberi keutamaan tempat duduk kepada wanita mengandung, OKU, kanak-kanak dan golongan yang lebih memerlukan. Ruang dalaman tren juga selesa, tidak ada yang membawa makanan dan minuman seperti mana yang diarahkan.  Begitu juga kemudahan untuk penumpang berdiri, juga banyak disediakan.

Penulis juga melihat masyarakat sudah mula bijak menggunakan pengangkutan awam. Ramai kalangan pengguna sudah mula menggunakan kad touch n go. Difahamkan, pelanggan amat digalakkan menggunakan perkhidmatan ini yang semangnya cepat dan mudah.

Pelbagai penjimatan juga disediakan untuk golongan yang tidak menggunakan bayaran secara tunai.

Penulis tiba di Stesen Bukit Bintang pada waktu puncak dan dapat melihat secara jelas, kemudahan MRT dimanfaatkan sepenuhnya.

Ada yang menggunakan kemudahan ini untuk akses ke pusat membeli-belah sambil makan tengah hari, menyelesaikan urusan peribadi dan tidak kurang juga kesempatan untuk membeli-belah. Apa tidaknya, pintu keluar MRT sangat strategik, pendek kata, dua langkah sahaja sudah sampai ke pusat beli-belah.

Tiba di stesen Stadium Kajang, penulis dapat melihat ramai menggunakan kemudahan MRT untuk datang menikmati Sate Kajang. Dengan menggunakan eskalator, kemudian melintas jalan, anda sudah sampai ke destinasi yang dituju.

Dalam kesempatan yang terbatas ini, sukar untuk penulis menghurai lebih lanjut tentang MRT ini. Anda rasai sendiri, baru boleh menilainya, #jomnaikMRT.

Akhir sekali, penulis juga mengagumi nilai estetik yang direka pada setiap stesen bawah tanah. Ciri-ciri Malaysia, dengan nilai sejarah jelas ditampilkan pada sudut-sudut tertentu. Ini bermakna, penumpang tidak bermimpi sedang berada di New York atau Kota London, meskipun kecanggihan yang dirasai itu menyamai kemudahan yang terdapat di sana.

Soal tiket pada harga RM6.40 sehala adalah amat berpatutan dari Stesen Sungai Buloh ke Kajang. Rebat untuk golongan warga emas, pelajar juga amat diterima baik. Secara keseluruhannya, setelah tiga bulan beroperasi, MRT semestinya menjadi kebanggaan semua.

Info

Akses mudah ke pusat beli-belah, hotel lima bintang dan hospital

1. Kira-kira 43 pusat beli-belah, pasar raya, pasar basah, restoran makanan segera, restoran mudah diakses.

2. Sunway Nexis, Sunway Giza, dan Giant Kota Damansara akses dari stesen MRT Surian.

3. E-Curve dan Tesco Kota Damansara dan Ikea akses dari Stesen Mutiara Damansara.

4. Pusat beli-belah One Utma akses dari Bandar Utama

5. Glo Damansara dan Hero Supermarket akses dari Taman Tun Dr Ismail (TTDI)

6. Eastin Hotel akses dari Phileo Damansara

7. Bangsar Shopping Centre akses dari Pusat Bandar Damansara

8. BB Plaza yang sedang dibangunkan semula, Fahrenheit 88, Galeri Starhill, Imbi Plaza, Pavilion, Lot 10, akses melalui Stesen Bukit Bintang

9. My Town Shopping Centre dan Ikea akses dan Aeon Big Jalan Peel melalui Cochrane

10. Aeon Mall akses melalui Maluri

11. Cheras Leisure Mall akses melalui Taman Connaught

12. Cheras Sentral akses melalui Taman Suntex

13. Akses mudah ke hospital dan pusat pengajian tinggi

14. Hospital Sungai Buloh akses  Stesen Sungai Buloh

15. KPJ Kota Damansara akses TTDI

16. Tropicana Medical Central akses Kota Damansara

17. KPJ Kajang  akses Sungai Jernih

18. SEGi University akses Kota Damansara

10.5 juta guna perkhidmatan MRT

Trend penggunaan MRT semakin diterima baik segenap lapisan masyarakat dan jumlah penumpang semakin bertambah walaupun perlahan.

Ketua Pegawai Operasi MRT Jajaran Sungai Buloh-Kajang, Muhammad Isom Azis berkata, dalam tempoh ini, jumlah pelanggan yang menggunakan MRT telah melepasi 10.5 juta.

“Kalau kita kira daripada bermula fasa pertama dibuka pada 16 Disember 2016 hingga ke fasa kedua, 17 Julai 2017, jumlah penumpang meningkat secara perlahan tapi sudah mencapai sasaran,” katanya.

Jelasnya, statistik itu juga tidak boleh dijadikan penanda aras kerana pada awal pelancaran ianya dibuka secara percuma. Di samping itu, kekerapan cuti umum juga menjadikan jumlah penumpang meningkat, termasuk juga sepanjang Sukan Sea (KL 2017).

“Tapi bila operasi kembali normal, dia terbalik, orang yang memang pelanggan tetap lebih tinggi pada minggu bekerja sehingga mencecah 100,000, manakala hujung minggu pula, turun sedikit kepada 90,000 ke 85,000.

“Jadi kita nampak trend naik MRT ini sudah berjaya menarik minat masyarakat, kalau tidak masakan hari bekerja pun ramai,” katanya.

Menurutnya, pembinaan MRT berjaya mengintegrasikan pengangkutan awam bersama kemudahan lain seperti stesen Komuter, stesen LRT dan stesen Monorel. Ia secara tidak langsung turut merancakkan pelancongan.

“MRT memudahkan pengguna dengan menghubungkan penumpang ke destinasi tumpuan seperti stesen Muzium Negara ke KL Sentral.

“Ini beri galakan kepada pengguna memilih pengangkutan awam, lebih-lebih apabila MRT turut menghubungkan destinasi popular pelancong seperti Muzium Negara, Bukit Bintang dan Pasar Seni,” katanya.

Stesen bawah tanah ada tema berlainan

Lebih menarik lagi, beliau berkata, tujuh stesen jajaran MRT Sungai Buloh – Kajang adalah bawah tanah dan ini pengalaman baru bagi rakyat Malaysia kerana menyamai  tren di Paris dan London.

Tidak ketinggalan, setiap stesen bawah tanah ini tampil dengan keunikan dan reka bentuk berbeza, di samping mempunyai tema tersendiri yang mencerminkan lokasi dan persekitaran unik stesen tersebut.

“Setiap stesen itu direka dengan identiti tersendiri, Stesen Merdeka contohnya mempunyai identiti Malaysia dan sarat dengan mesej kenegaraan yang boleh dihayati pengguna sementara menunggu ketibaan tren, dan begitulah juga dengan stesen-stesen lain” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Isom berkata, selain menghubungkan pengguna dengan pejabat dan pusat beli-belah, laluan Sungai Buloh- Kajang juga menyediakan akses mudah kepada  institusi pendidikan sama ada sekolah rendah hingga ke universiti.

Bagi memudahkan orang ramai juga turut disediakan perkhidmatan bas perantara secara harian yang selesa pada harga RM1 sahaja.

Dianggarkan 192 bas beroperasi di laluan berkenaan dengan 112 bas dan 80 bas terbabit bergerak masing-masing di MRT Fasa 1 laluan Sungai Buloh – Semantan dan MRT Fasa 2 (Semantan-Kajang). Kekerapan bas perantara adalah setiap 10 hingga 15 minit di 26 stesen bas terpilih.

Dari aspek keselamatan pula, kira-kira 3,000 kamera litar tertutup (CCTV) dipasang pada setiap sudut untuk mengawasi keadaan stesen.

“Walaupun stesen terletak di bawah tanah, tapi pencahayaan sentiasa terang kerana ia direka mengikut keadaan, kalau malam atau gelap, kawasan tetap terang kerana pencahayaan cukup untuk membuatkan penumpang selamat,” katanya.

Katanya, selain stesen diawasi CCTV, ditempatkan juga staf MRT sendiri bagi kawal keadaan, dengan buat rondaan kerap di samping bantuan daripada polis bantuan.

“Aspek keselamatan ditekankan, namun benda nak jadi, itu kita tak boleh elak, namun dengan komitmen semua pihak, Insya-ALLAH kita cuba kurangkan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");